Monday, November 25, 2013

Filem JALAN PINTAS ke Festival Filem Asia Jogja-NETPAC ke 8



KENYATAAN MEDIA 26 November 2013


Filem drama kehidupan sosial, JALAN PINTAS telah dijemput untuk ditayangkan di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC ke 8 pada 29 November hingga 7 Disember 2013. JALAN PINTAS merupakan satu-satunya filem yang dipilih manakala filem Hanyut arahan U-Wei Haji Saari dipilih sebagai filem pembukaan.

JALAN PINTAS tidak dipertandingkan dalam festival tersebut kerana melangkaui pembikinan filem tersebut yang dibuat pada 2009 dan pernah ditayangkan sebagai filem perdana Malaysia di 9th Freedom Film Fest  pada tahun 2011 dan tayangan perdana antarabangsanya bersempena dengan Festival Filem Fantastik Antarabangsa Puchon (PIFAN) ke 16 pada 19 hingga 29 Julai 2012.

Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) merupakan festival filem Asia terulung di Indonesia yang memfokuskan kepada pembangunan wayang di Asia. JAFF bekerjasama dengan NETPAC (Network for the Promotion of Asian Cinema), sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai 30 negara. Badan yang berpengkalan di Colombo Srilanka, NETPAC ialah sebuah organisasi filem dan budaya pan-Asian yang meliputi kritik, pembikin filem, penganjur festival filem dan kurator, pengedar dan pempamer serta para penyelidik. Ia merupakan peneraju wayang seluruh Asia.

JALAN PINTAS akan diwakili penerbitnya, Faisal Mustaffa dan bakal ditayangkan di Taman Budaya Yogyakarta dan Empire XXI Cineplex pada 7 Disember 2013.

JALAN PINTAS, ditulis Ayam Fared dan diarahkan oleh Nam Ron dipaparkan di dalam seksyen non-competition feature film disamping filem-filem dari Negara Filipina, Singapura, Jepun, Iran, Thailand, China dan India.

Nam Ron berkata, “Inilah filem yang menampilkan kehidupan sebenar berdasarkan realisme. Projek filem ini menyerlahkan bakat bintang filem tempatan yang sukar untuk mereka perolehi di filem-filem arus perdana.”

Sementara itu, Faisal Mustaffa selaku penerbit berkata, “Saya bersyukur kerana filem ini diterima di peringkat antarabangsa sungguhpun ia merupakan filem pertama terbitan saya dan Rumah Anak Teater.”

Tambahnya lagi, “Sebagai pembikin filem, impian saya agar ianya dapat ditayangkan di pawagam di negara sendiri tetapi malangnya FINAS telah membuat 19 potongan kepada filem tersebut dan ianya mencacatkan keseluruhan penceritaan. Mujur JALAN PINTAS diterima baik di negara luar.”

JALAN PINTAS merupakan sebuah cereka yang berkisar mengenai watak Bakar – seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan, juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga – ibu dan seorang adik perempuannya.

Melalui JALAN PINTAS, kita melihat watak seorang pemuda yang biasa, yang boleh kita temui di mana-mana, yang menjadi mangsa kepada janji-janji delusi Kuala Lumpur. Menelusuri perjalanan yang Bakar tempuhi dalam ruang waktu satu hari – dari pagi ke petang, hanya dengan tujuan untuk menghadiri sesi temuduga; kita sebenarnya tanpa sedar sedang melihat sebuah kehidupan seorang manusia, yang terperangkap antara harapan dan beban, hingga akhirnya, disebabkan kenyataan, angan-angan berubah menjadi dendam.

Bakar yang sentiasa membiarkan pilihan-pilihan hidup bermain di ruang ciptaan kotak fikirnya, tanpa sengaja telah menghasilkan justifikasi kebarangkalian serta risiko yang bakal dihadapinya untuk setiap pilihan yang bakal dibuat. Dan pada akhirnya, Bakar, juga kita, tetap keliru; apakah kita yang terlalu bodoh dan dungu, atau takdir hidup memang seharusnya begitu?

JALAN PINTAS dibintangi oleh Auf Razak, Sharifah Amani, Beto Kusyairy dan Bront Palarae dan ramai lagi.

Selain itu, syarikat penerbitan Merpati Jingga yang mendapat kerjasama NETPAC dan Krishen Jit Astro Fund akan melancarkan buku Hassan Abd Muthalib berjudul Malaysian Cinema in a Bottle – A Century (and a bt more) of Wayang pada 4 Disember 2013 / 15.00 – 17.00 di mana Hassan Abd Muthalib, Aruna Vasudev, Nick Deocampo dan Fajar Junaedi akan menjadi panel bagi membedah buku tersebut.