Wednesday, March 3, 2010

Kokok Kokak Mencucuk

Buku baru di Frinjan Shah Alam, sabtu ini..

Buku ini akan dilancarkan oleh Zahiril Adzim pada jam 10 malam.

Buku berharga RM10-00 dan sudah mula boleh didapati pada hari pelancaran.




Pengantar oleh Rahmat Haron


Kokok Kokak Mencucuk

(i)

Tanggal 7 haribulan Mac tahun 2008, dalam keseorangan di hentian Puduraya sementara menunggu bas untuk pulang ke kampung membuang undi sempena Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke 12, seorang pemuda sempat lagi mencatatkan tentang karenah orang ramai, barangkali dia berasa pelik, hairan atau benci menyampah, dia mengakui pula dirinya macam sampah yang boleh dikitar semula - suatu pancaran sikap murninya yang ingin hidup dengan hasrat menjadi manusia berguna, biarpun hanya sampah - dia menjadi sampah yang boleh dikitar semula. Pemuda tegap ini menaksirkan kota tempat dia tinggal, mungkin dalam bahang panas kehangatan wap hentian Puduraya, bau diesel, asap dan nafas pengap, dia bertanya erti sebuah Kuala Lumpur dalam hubungan indah sejarah hidupnya - mengimbau kenangan, sebuah kampung halaman dan wajah ibu bapanya. Dalam kekeliruan, entahlah barangkali ada terlalu banyak hal dan perkara yang difikir, renung menungkan anak muda ini, dengan raut wajah resah, kening berkerut, dahi meleleh peluh, badan kepanasan, lecah lembap berkeringat dia menulis dengan huruf besar, diakhiri tanda tanya dan tanda seru sekaligus mengakhiri catatan puisinya di hentian Puduraya itu, lambang ikonik Kuala Lumpur, bagi warganya yang asli dan mendatang, dalam kesementaraan, begini dia menyeru tanya - STABIL UNTUK SIAPA?!

Kemudian di bulan Mac juga, tak pasti di mana dia mencatat, yang penting dia menulis puisi yang berakhir dengan jeritan atau kokokan panjang tentang jangan ada sesiapapun mempersoalkan dirinya, kerana dia benar-benar yakin hanya Tuhan saja yang berkuasa semuktamadnya untuk mempersoalkan dirinya. Meskipun begitu, entah apa yang dibuatnya di Dataran Merdeka pada 19 haribulan Mac 2009, dia jadi keliru, barangkali dalam kemurungan atau pengaruh bahan-bahan khayal atau gangguan perasaan, dia bertanya, tidak pasti juga pada siapa dia bertanya - adalah tidak mustahil kalau ini merupakan latihan dialektika untuk mengasah tajam pemikirannya - dan pertanyaannya jelas cuba menggambarkan suatu desakan untuk lari daripada sebuah permasalahan atau kenyataan yang tidak digemarinya, apabila dia mencatat, "sial aku ingin ke ruang vakum, terapung tanpa suara; apakah aku terlalu bodoh dan dungu atau hidup memang seharusnya begini?"

Menista hina dinakan diri sendiri atau meragui diri sendiri adalah suatu gaya atau strategi seni atau di tahap-tahap melampau menjadi kefahaman atau daya gerak atau dorongan tingkah laku yang pada diri orang-orang tertentu, tokoh-tokoh seni atau sastera dunia misalnya, selalu bermain dengan bentuk kesenian dalam jenis menghina diri sendiri. Jikalau ianya suatu permainan atau pertandingan atau perlumbaan, pemenang dipilih bukan berdasarkan siapa yang paling pandai, tetapi siapa yang paling bodoh. Ataupun bukan siapa yang paling mulia melainkan siapa yang paling jahat. Ia memberikan tanda, suatu kiasan atau cerminan tentang kenyataan dan keadaan hidup yang melingkari dirinya. Makanya, dia memilih untuk menghadir wujudkan dirinya dalam gambaran atau pengakuan penuh kehinaan, sebagai menunjukkan bahawa semua orang juga hina sepertinya, tanpa segan laksana gagahnya langkah jaguh ayam sabung di medan laga, dia dengan penuh yakin menulis, "syok sendiri, suka membutohkan diri sendiri."

Persoalan tentang bagaimana membutohkan diri sendiri atau pakai butoh siapa, bolehkah butoh sendiri membutohkan diri sendiri, tidaklah diceritakan dengan panjang lebar dalam siri catatannya yang diletakkan akronim seperti CANGANG untuk Catatan Bangang atau CATAT untuk Catatan Pantat. Gubahan atau rakaman dialog-dialog yang berwatak dan tidak berwatak, menyuguhkan gagasan intelektual dirinya selaku seorang seniman bahawa situasi dan dialog hanyalah dekonstruksi dari realiti dan mengangkat moral dirinya bahawa IDENTITI ADALAH DELUSI.

(ii)
Bagaimanakah menulis sebuah pengantar buku puisi dan catatan berjudul Stabil untuk dirinya seorang seniman bernama Fared Ayam ini? Apakah yang hendak dikenalkan dari nama dan sebuah buku puisi ini? Kenapa aku yang diminta menulisnya pula? Siapa pula aku ini? Aku dalam kata-kata NISTA nya adalah seorang pelahap bangkai merenangi lautan sampah, menangguk rezeki dari kebusukan hidup - belajar menerima hakikat kewujudan sementaraku. Jadi biar betul mamat ni? Nak mintak aku tuliskan sebuah kata pengantar - kata pengantarpun aku dah tak pasti macam mana rupa atau strukturnya - ketidaktentuan melanggar bentuk, memecahkan bingkai makna, takrif dan taksir yang tidak lagi mutlak, tunggal, selagi kita membicarakan tentang kita-kita juga. Kemutlakan hilang. Datang keragaman membawakan berencam rencah rasa suatu kehidupan.

Fared Ayam, manusia ‘provincial’, anak ladang Felda, di 'luar bandar' membesar dengan - lengan yang juga tambah membesar - diajar mengait buah kelapa sawit. Seorang anggota kugiran ‘underground’ L.S.D - sebuah band dengan persembahan ala-ala Jim Morisson atau The Fugs - kemudiannya pada tahun-tahun kebelakangan ini aktif menggiatkan seni persembahan teater dan puisi, lantas Fared Ayam memberi nafas baru berserta ungkapan-ungkapan yang baru juga dalam teater dan puisinya, ternyata kita sedang membaca gema pekikan atau syahdu bisikan suatu suara baru. Suara seorang seniman muda yang berjaya melepaskan dirinya dari lingkaran kebosanan dan kemurungan dan kebanalan kehidupan anak muda di tanah Felda, dengan kegiatan yang tak dapat nak diangkat seperti berkaraoke pada tengahari bulan puasa, atau di tembok duduk bersidai, simpang tiga jalan menjadi ruang pusat kegiatan muda-mudinya. Suara kokokannya adalah suara seorang seniman yang merasai pengalaman pedih sedih dan indah riang politik pembangunan di Malaysia.

Jalan hidup jarang-jarang mencapai titik stabil dalam geometrik jarak di antara dugaan, halangan, sekatan dengan persilangan janji, harapan angan-angan, hasrat perancangan dan cita-cita. Apakah Fared Ayam bakal menjadi ayam laga pemenang sabung, atau ayam semahan atau makanan yang lehernya nanti disembelih untuk hidangan kerakusan? Semoga Fared Ayam tidak menjadi mangsa hikayat yang diciptanya sendiri, dan kalaupun dia menjadi mangsa, kita akan sentiasa mengenangnya sebagai seorang juara laga, melayah sayap melompat menaji kegagalan, mematuk keangkuhan, menelan bisa, merebahkan kesombongan.

Bacalah tanda-tanda yang ada, jangan ambil mudah, tak ambil kisah, memandang sambil lewa, berjaga-jagalah, Fared Ayam telah memberikan amarannya, "kembalikan kesemulajadian atau akan aku mulakan hasutan!"

Mac 2010

taman halaman

2 comments:

Encik Psychopath said...

boleh tahan buku ni.

RAT said...

terima kasih.. harap berbaloi ye..

Post a Comment