Monday, July 12, 2010

KARAOKE(2009) MENGHADAPI PERUBAHAN

Oleh Azlina Mohadzir

Jika dilihat pada tajuknya, pasti ramai yang menyangka bahawa filem Karaoke(2009) berkisar kepada kegiatan berkaraoke yang menjadi kegemaran kebanyakan anak muda masa kini. Banyak perkara tersirat yang ingin ditonjolkan di sebalik setiap babak yang ditonjolkan dan dialog yang dilontarkan di dalam filem ini.

Karaoke merupakan filem cetera pertama arahan Chris Chong yang sebelum ini telah mengarahkan lapan buah filem pendek. Di antara filem pendek arahan beliau yang mendapat perhatian daripada peminat filem pendek antarabangsa ialah Blok B yang diterbitkan pada 2008. Ia pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin dan dipilih sebagai sepuluh filem pendek terbaik di Festival Filem Kanada. Filem Malaysia terakhir yang ditayangkan di Festival Filem Cannes ialah Kaki Bakar(1995), sebuah filem arahan U-Wei Haji Shaari. Selepas 14 tahun, akhirnya Karaoke terpilih bagi mewakili negara di Festival Filem Cannes. Karaoke turut memenangi anugerah di Festival Filem Calgary di Kanada. Shanon Shah yang menulis skrip filem ini turut bertanggungjawab bagi menulis lagu-lagu yang terdapat di dalam filem ini. Karaoke dibarisi oleh para pelakon yang mempunyai asas kukuh di dalam teater seperti Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa.

Karaoke mengisahkan tentang Betik yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim, seorang anak muda yang baru menamatkan pengajian di universiti dan pulang ke kampung dengan tujuan untuk membantu ibunya menguruskan perniagaan peninggalan bapanya; sebuat pusat karaoke di tengah estet kelapa sawit. Mislina Mustaffa yang melakonkan watak ibu Betik, dilihat sebagai tidak merestui kepulangan Betik ke kampung. Hubungan di antara mereka berdua masih dingin sejak sekian lama akibat daripada tindakan Betik yang tidak menghadiri majlis pengkebumian ayahnya. Di dalam satu babak ditunjukkan Betik cuba untuk memperbaiki hubungan mereka dengan berbual sambil melihat ibunya melipat kain. Namun usahanya sia-sia apabila si ibu kemudiannya bangkit memasang langsir; sebuah perlambangan akan penolakan si ibu yang masih tidak dapat memaafkan Betik. Bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh kedua pelakon menunjukkan kecanggungan di antara kedua anak-beranak. Si anak cuba untuk membawa pembaharuan yang dilihat di bandar bagi memajukan perniagaan karaoke mereka sementara si ibu pula membuat keputusan untuk menjual perniagaan itu dan berhijrah ke bandar.

Betik yang sudah sekian lama tidak pulang ke kampung digambarkan sebagai seorang yang kini tersisih di dalam persekitaran estet kelapa sawit yang dulunya adalah tempat dia membesar. Tema ini turut di guna pakai di dalam filem Asia lain seperti filem Wong Kar Wai, Chungking Express (1994) dan Tsai Ming-Liang, What Time is It There? (2005). Betik berjalan meneroka kampung yang kini seakan tempat asing baginya sehingga tersesat ke hujung kampung. Sepanjang dia berjalan, kita dapat melihat proses yang terjadi saban hari di estet kelapa sawit. Buah kelapa sawit dikutip dan dihantar ke kilang untuk diproses menjadi minyak kelapa sawit. Namun, apa yang tersirat di sebalik babak ini merupakan gambaran kepada isu yang dihadapi di ladang kelapa sawit. Pengurusan ladang kelapa sawit yang lemah mengakibatkan banyak hutan musnah demi menambahkan keluasan kawasan ladang. Kilang kelapa sawit menjadi perlambangan akan pencemaran yang kian menjadi-jadi; pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh mesin pemprosesan kelapa sawit dan pencemaran air bersih akibat kegagalan kilang mengawal saliran. Babak di mana penggembala kambing memohon agar perlawanan bola sepak dimulakan selepas kambingnya selesai meragut rumput menunjukkan betapa ketamakan manusia sedikit demi sedikit memusnahkan ekosistem kita.

Anisah yang dilakonkan oleh Nadiya Nisaa, merupakan seorang gadis yang membesar di estet kelapa sawit dalam dalam filem ini. Betik yang tertarik kepadanya tatkala bertemu di karaoke milik ibu Betik digambarkan sebagai seorang yang cuba mencari jalan untuk keluar daripada kehidupan di estet yang kian mati dan tersisih daripada arus kemodenan. Bapa saudara Betik, Bak, yang dibawakan oleh Mohammad Hariry membantu ibu Betik menguruskan perniagaan karaoke pada malamnya dan bekerja sebagai pembantu di dalam penggambaraan video karaoke. Ibu Betik meminta Bak supaya membawa Betik untuk bekerja bersamanya sebagai pembantu. Bermula sebagai pembantu, Betik akhirnya menjadi pelakon di dalam video tersebut.

Terdapat enam buah lagu di dalam filem ini dan kesemuanya ditulis oleh Shahnon Shah. Apa yang menarik di sini ialah lagu-lagu tersebut bertindak sebagai pelengkap penceritaaan bagi sesuatu babak. Sebagai contoh, semasa Betik dan Anisah sedang berbual di karaoke, salah seorang pengunjung menyanyikan lagu cinta dengan klip video karaoke yang menunjukkan sepasang kekasih berjalan berpegangan tangan dengan latar belakang romantis iaitu matahari terbenam. Sementara babak lagu nasyid yang dinyanyikan oleh seorang pengunjung berbangsa India menunjukkan toleransi kaum dan agama yang wujud di negara kita sejak sekian lama.

Babak penggambaraan video karaoke menggambarkan keadaan yang berlaku semasa penggambaraan. Pelakon yang diupah hanya mengikut arahan sang pengarah di dalam menterjemahkan emosi yang bersesuaian dengan lagu tanpa perlu berusaha untuk memahami lebih lanjut akan maksud di sebalik sesebuah lagu itu. Dengan langit cerah sebagai latar belakang Betik semasa syot yang diambil dari dekat dan lirikan mata Betik yang merenung jauh menggambarkan konflik dalam diri Betik yang ditinggalkan keseorangan di kampung yang kini asing baginya kerana ibu dan bapa saudaranya telah pergi berhijrah ke bandar.

Tema utama yang ingin disampaikan oleh Karaoke: perubahan di dalam hidup yang tidak dapat dielakkan dan kita sebagai manusia sering gagal untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Betik sebagai watak utama digambarkan sebagai seorang manusia yang gagal: dia gagal untuk berbaik semula dengan ibunya yang membuat keputusan untuk menjual pusat karaoke peninggalan suaminya demi masa depan yang lebih cerah. Hubungannya dengan Anisah juga tidak ke mana kerana Anisah tidak tertarik latar belakang pendidikan Betik dan kisah-kisah kehidupan di bandar yang sering diceritakan oleh Betik kepadanya.

Tema menghadapi perubahan (di sini, perubahan modenisasi, atau kehadiran urbanisasi ke dalam sosio hidup masyarakat pendalaman) bukanlah sesuatu yang asing di kalangan cendekiawan tempatan. Begitu juga dengan penulis cereka tempatan serta beberapa filem Malaysia yang mengandungi tema sebegini pada 70-an dan 80-an, seperti Setinggan (1981), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Bila Hati Sudah Retak (1983) dan Ceritaku Ceritamu (1979). Tetapi gaya dan garapan Chris Chong yang minimalis, tanpa banyak berdialog, dengan penggunaan ruang dan latar untuk “bercerita” memberikan satu kesegaran yang lain dalam mengimbuhkan kehadiran perubahan terhadap “orang-orang kecil”. Malah, secara menarik sekali, Chris Chong dan Shahnon Shah memilih untuk menggunakan simbolisme karaoke untuk mengikat setiap entiti di dalam filem ini tentang pertalian reaksi dalam menghadapi perubahan itu. Secara tidak sedar, filem ini juga “menyatakan” tentang perubahan sinema Malaysia, serta “reaksi” kita sebagai penonton secara tidak sengaja.

Kejayaan tunggal Betik di dalam filem ini adalah apabila dia menjadi pelakon klip video karaoke. Bermula sebagai bidan terjun kerana menggantikan pelakon lelaki yang tidak datang, dia akhirnya menjadi pelakon yang hanya menurut arahan pengarah. Pada permulaan filem, syot yang diambil dari dekat digunakan bagi memberikan gambaran keadaan karaoke peninggalan bapa Betik. Di akhir filem syot lanskap digunakan bagi memperlihatkan keadaan sekeliling karaoke itu.

Filem ini di akhiri dengan Betik sebagai pelakon di dalam video karaoke, sesuatu yang digemarinya sejak kecil lagi. Ia memperlihatkan Betik sebagai seorang yang masih terikat dengan dunia khayalan di dalam mindanya dan tidak mahu menerima bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Walaupun dia ditinggalkan oleh si ibu yang telah berhijrah ke bandar bersama pakciknya demi untuk mengubah nasib mereka namun Betik merasakan kerjaya sebagai pelakon klip video karaoke adalah yang terbaik untuknya. Betik tetap mahu hidup di dalam dunia yang penuh fantasi yang dirasakan ideal bagi dirinya. Inilah realiti hidup bagi sesetengah manusia yang tidak mahu berubah.

Rencana ini di siarkan di dalam Dewan Budaya April 2010.

1 comment:

kriskros said...

ralat: Block B diangkat sebagai salah satu filem pendek terbaik dari atau oleh pembikin filem Kanada untuk tahun 2009. Bukannya "dipilih sebagai sepuluh filem pendek terbaik di Festival Filem Kanada".

Post a Comment