Lembu merupakan kisah cinta yang sangat biasa, seolah-olah sebuah drama yang sudah klise. Nam Ron menjadikan kisah cintanya ini lain daripada yang lain, kerana cinta itu terhalang akibat perbezaan pegangan politik ahli keluarga teruna-dara. Apa yang lebih menarik, Nam Ron mengambil pendekatan komedi, dengan mengenengahkan peristiwa kehilangan seekor lembu yang sepatutnya menjadi korban untuk meraikan kedatangan seorang pemimpin. Dalam pada itu, beliau ketara menyuntik dan menjentik hal-hal yang dirasakan mengganggu fikirannya.
Proses mengangkat masalah sosial yang sejak berkurun sudah mewarisi kehidupan masyarakat Melayu: kemiskinan dan tidak berpendidikan. Situasi ini diburukkan lagi dengan sikap sesetengah orang Melayu sendiri yang tidak begitu cerdik untuk mengatur kehidupan. Memberhentikan anak daripada persekolahan dan mengahwinkannya dalam usia muda jelas merosakkan terus masa depan anak itu.
Matderihkolaperlih sebagai sebuah monodrama, mengambil pendekatan penceritaan dari sudut pandangan beberapa watak. Selain Derih sendiri, cerita juga disampaikan oleh watak rakannya, Solleh dan Wati. Kisah watak ‘budak’ nelayan dari Kuala Perlis yang bertukar menjadi gedebe yang mengutip duit perlindungan, menjadi tauke Song di Padang Besar, hingga akhirnya
bertukar menjadi ahli politik. Detik paling menarik dalam riwayat Matderih ini ialah apabila dia menembak lelaki yang cuba memperkosa Wati dan didapati lelaki itu ialah ayahnya sendiri, yang dicari-cari selama ini. Ini adalah sisi gelap kehidupan ‘seorang Matderih’ yang cuba diperlihatkan oleh Nam Ron, sebagai analogi kepada kehidupan manusia yang memungkinkan segala-galanya,
di sebalik takdir.
Aku Nak Jadi Bintang mengungkapkan kisah seorang gadis desa dengan impian besarnya untuk menjadi bintang – sebagai artis yang hidup penuh glamor. Bagaimanapun dia terjebak dengan Alex yang menjadikannya “bintang” lain. Si gadis mula mengenali segala macam lelaki yang berjanji untuk menjadikannya bintang. Gadis lalu melayani kesemua mereka. Akhirnya dia bertemu dengan Johan yang bekerja dalam bidang perfileman dan gadis sangat meyakininya. Dan dia menyerah kepada Johan. Hingga akhirnya dia terbabit dalam perlakuan dan aksi yang membawa kepada tragedi.
Laut lebih Indah dari Bulan semacam sekuel kepada Aku Nak Jadi Bintang, mengambil premis daripada satu peristiwa yang pernah berlaku dan menggemparkan negara tidak berapa lama dahulu. Kalau Aku Nak Jadi Bintang merupakan monolog atau penceritaan oleh gadis yang mahu menjadi ‘bintang” itu, Laut... memilih pendekatan penceritaan dari sudut pandangan isteri
kepada lelaki yang menghadapi tuduhan sebagai pembunuh (Johan dalam Aku Nak Jadi Bintang?). Si isteri (Bulan) yang sangat setia dan percaya pada suaminya (Laut) itu sangat sukar untuk mempercayai kecurangan pasangannya, sehinggalah dia menemui bukti-bukti yang nyata.
3 comments:
Menarik :)
sedang dibaca! :-)
Ajami Hashim vs. Nam Ron @ Rumah Frinjan 04.10.09 [youtube]
klik sini >> ajamihashim
Post a Comment