Friday, October 2, 2009

Jemputan ke Majlis Pelancaran Buku "Projek KoKEN" dan "Laut Lebih Indah Dari Bulan: Antalogi Skrip Teater Nam Ron"



Rumah Anak Teater dengan kerjasama Oxygen Media dan Kumpulan Frinjan dengan berbesar hati menjemput anda ke Majlis Pelancaran Buku "Projek KoKEN: Koleksi Skrip Teater Kompilasi Volume I & II" dan "Laut Lebih Indah Dari Bulan: Antalogi Skrip Teater Nam Ron" pada 4hb Oktober 2009, hari Ahad, jam 8.00 malam bertempat di Rumah Frinjan, 22 Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail 60000 Kuala Lumpur.

Pelancaran akan disempurnakan oleh Encik Wahab Hamzah, Perancang Bahasa di DBP

Untuk peta ke lokasi, sila klik di sini

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Faisal Mustaffa 019-2232002 atau emel ke faisal.mustaffa@gmail.com.

Kenyataan Media RAT: Rumah Anak Teater Kongsi Kreativi Dalam Buku

Teater Kompilasi Vol 1 & 2 merupakan projek kedua yang diusahakan kumpulan Rumah Anak Teater (RAT) melalui Projek Komuniti Kental (KoKen).

Sebanyak enam skrip dalam dua pementasan tersebut akan dibukukan agar lebih banyak pihak dapat berkongsi kreativiti RAT yang khusus kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan.

NAM RON atau nama sebenarnya Shamili Abdan (39 tahun) juga akan menerbitkan antologi skripnya sendiri melalui penerbit yang sama, Oxygen Media.

Nam Ron merupakan seorang pengarah, penulis, pelakon teater, tv dan filem. Di arena teater beliau mula terlibat dengan aktiviti ini bermula dari tahun 1989. Pada tahun 2000, selepas tamat pengajian di Akademi Seni Kebangsaan beliau menubuhkan Alternative Stage dan menjadi pengarah artistik hingga kini. Selain dari pengiat seni beliau juga turut menyumbang tenaga sebagai pensyarah sambilan di Jabatan Teater, ASWARA. Beberapa karyanya telah tercalon ke peringkat akhir di Anugerah Seni Cameronian sebagai pengarah, pelakon dan penulis antaranya adalah Lembu, Matderihkolaperlih, Laut lebih Indah dari Bulan dan VV(WIP). Pada tahun 2003 Matderihkolaperlih memenangi ketegori skrip bahasa melayu terbaik pada anugerah tersebut. Pencapaian beliau yang lain adalah apabila menerima anugerah graduan cermerlang bagi ketegori teater oleh ASWARA pada tahun 2007. Nam Ron juga adalah salah seorang ahli dalam pertubuhan Lohan Journey, sebuah pertubuhan teater antarabangsa yang bertapak di Tokyo.

Sinopsis Koleksi Skrip Kompilasi Teater Vol 1 & 2

Teruk

Dalam kehidupan, setiap perkara perlu dilakukan dengan batasan. Tidak kira samada perlakuan atau aktiviti fizikal, spiritual, emosi atau apa sahaja, termasuk hubungan dengan Tuhan.

Adib, seorang lelaki berkehidupan sederhana yang telah terlolos dalam keindahan perasaan serta kebahagian yang dimiliki bersama Alishia, serorang gadis yang agak senang dengan kehidupannya. Taraf kehidupan tidak pernah menjadi penghalang mereka. Hubungan mereka seperti hubungan sepasang kekasih yang lain. Cuma mereka lebih jarang bertengkar atau bergaduh. Akibat hubungan yang terlalu indah dan tenang seperti yang selalu diidam - idamkan oleh setiap pasangan lain, Adib telah menemui satu perasaan serta pemikiran dari sudut lain.

Pokok Kelapa Sayang

Pokok Kelapa Sayang adalah kisah seorang lelaki tua yang bernama Hasyim, berketurunan India di Malaysia yang mana telah memeluk agama Islam demi percintaan yang terjalin antara dirinya dan Nur Ain.

Percintaannya telah dimusnahkan oleh kuasa ekonomi, kuasa politik, kuasa pemikiran masyarakat, kuasa budaya dan perkauman serta kuasa pilihan yang mana setiap manusia punya hak untuk membuat keputusan.

Nur Ain yang terhimpit antara kesetiaan pada keluarga dan kehendak hatinya telah memilih untuk membutakan perasaannya bagi memperjuangkan pilihan keluarga yang dipercayainya akan mendapat kebahagiaan, namun ia berlaku sebaliknya.

Hasyim yang berpegang teguh dan mempercayai pada cinta sejatinya telah mengakui Nur Ain hanyalah miliknya seorang sahaja sehinggakan sanggup melakukan tindakkan yang diluar sedar dan kejam.

Hasyim telah menanam mayat yang dipercayainya Nur Ain bersama sebiji buah kelapa, sehingga buah itu terus membesar menjadi pokok kelapa dan menjadi sebuah tanda percintaan agung buat Hasyim sehingga ke zaman tuanya.

Hasyim mempunyai rahsia mengenai pokok kelapa sayangnya itu, dimana tersimpan sejarah hitam pada dirinya yang cuba diselami oleh Penjaga, iaitu pekerja rumah orang tua setelah pelik melihat gelagat Hasyim tua yang begitu menyayangi sebatang pokok kelapa di pantai Port Dickson itu.

Naturalisasi

Mengisahkan tentang watak Razman, seorang peguam kepada seorang ahli perniagaan yang ternama dan teman baiknya Rahmat, seorang penulis bebas. Suatu malam Razman termenung sendirian di dalam gelap. Kegelisahannya berpunca dari kes perbicaraan membabitkan ahli perniagaan tersebut siang tadi. Rahmat, yang juga merupakan teman serumah Razman yang baru pulang dapat mengesan perubahan Razman. Mereka berbincang tentang hal tersebut, kemesraan tetap ada walau kadangkala keadaan menjadi agak tegang. Nurul kekasih Razman sampai dengan keadaan marah dan runsing. Setelah dipujuk oleh Razman barulah dia tenang. Darinya diketahui bahawa Nurul mengandungkan anak Razman. Mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Malam itu Nurul tidur di situ, Rahmat marah dengan tindakan Razman. Mereka bertengkar. Pagi besoknya, Rahmat cuba menghasut Nurul dengan membuat satu helah, tujuannya untuk memisahkan hubungan Nurul dengan Razman. Setelah Rahmat keluar, Razman sekali lagi bertengkar dengan Nurul dan akhirnya Razman terperangkap dengan helah yang dicipta Nurul dan mengaku bahawa dirinya adalah lelaki gay. Nurul terkejut lalu mahu memutuskan hubungan dengan Razman. Tengah hari, Rahmat pulang membawa berita bahawa dia menghidap HIV positif.

Legasi

Legasi sebuah cereka yang mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang saling mencintai di antara satu sama lain sepenuhnya akan tetapi mempunyai sisi persepsi paksi politik yang berbeza. Ia berlatar belakangkan kepada budaya politik Malaya 1940an. Cikgu Bakar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah elitus Melayu lepasan Sultan Idris Teachers College yang menyokong dan bersama menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Apabila KMM mulai lemah (1945), ramai pemimpin utama kesatuan itu mengambil pendirian untuk meninggalkan KMM, termasuklah Cikgu Zaharah, namun ianya tidak melibatkan Cikgu Bakar. Hal ini adalah kerana Cikgu Bakar tetap terus berpaksi kepada perjuangan KMM. Konflik persepsi politik ini terus menyelubungi kehidupan Cikgu Bakar dan Cikgu Zaharah. 50 tahun kemudian, di hari-hari terakhir Cikgu Bakar, dia sempat berjumpa dengan cucu perempuannya yang merupakan seorang liberal anthropologist, Suhaila. Bersama Suhaila, Cikgu Bakar merungkai pengalaman, pandangan, kepercayaan politiknya. Adakah Suhaila akan meneruskan “LEGASI” yang di bangunkan oleh Cikgu Bakar.

Sinopsis buku ' Laut lebih Indah dari Bulan' karya Nam Ron

Lembu merupakan kisah cinta yang sangat biasa, seolah-olah sebuah drama yang sudah klise. Nam Ron menjadikan kisah cintanya ini lain daripada yang lain, kerana cinta itu terhalang akibat perbezaan pegangan politik ahli keluarga teruna-dara. Apa yang lebih menarik, Nam Ron mengambil pendekatan komedi, dengan mengenengahkan peristiwa kehilangan seekor lembu yang sepatutnya menjadi korban untuk meraikan kedatangan seorang pemimpin. Dalam pada itu, beliau ketara menyuntik dan menjentik hal-hal yang dirasakan mengganggu fikirannya.

Proses mengangkat masalah sosial yang sejak berkurun sudah mewarisi kehidupan masyarakat Melayu: kemiskinan dan tidak berpendidikan. Situasi ini diburukkan lagi dengan sikap sesetengah orang Melayu sendiri yang tidak begitu cerdik untuk mengatur kehidupan. Memberhentikan anak daripada persekolahan dan mengahwinkannya dalam usia muda jelas merosakkan terus masa depan anak itu.

Matderihkolaperlih sebagai sebuah monodrama, mengambil pendekatan penceritaan dari sudut pandangan beberapa watak. Selain Derih sendiri, cerita juga disampaikan oleh watak rakannya, Solleh dan Wati. Kisah watak ‘budak’ nelayan dari Kuala Perlis yang bertukar menjadi gedebe yang mengutip duit perlindungan, menjadi tauke Song di Padang Besar, hingga akhirnya bertukar menjadi ahli politik. Detik paling menarik dalam riwayat Matderih ini ialah apabila dia menembak lelaki yang cuba memperkosa Wati dan didapati lelaki itu ialah ayahnya sendiri, yang dicari-cari selama ini. Ini adalah sisi gelap kehidupan ‘seorang Matderih’ yang cuba diperlihatkan oleh Nam Ron, sebagai analogi kepada kehidupan manusia yang memungkinkan segala-galanya, di sebalik takdir.

Aku Nak Jadi Bintang mengungkapkan kisah seorang gadis desa dengan impian besarnya untuk menjadi bintang – sebagai artis yang hidup penuh glamor. Bagaimanapun dia terjebak dengan Alex yang menjadikannya “bintang” lain. Si gadis mula mengenali segala macam lelaki yang berjanji untuk menjadikannya bintang. Gadis lalu melayani kesemua mereka. Akhirnya dia bertemu dengan Johan yang bekerja dalam bidang perfileman dan gadis sangat meyakininya. Dan dia menyerah kepada Johan. Hingga akhirnya dia terbabit dalam perlakuan dan aksi yang membawa kepada tragedi.

Laut lebih Indah dari Bulan semacam sekuel kepada Aku Nak Jadi Bintang, mengambil premis daripada satu peristiwa yang pernah berlaku dan menggemparkan negara tidak berapa lama dahulu. Kalau Aku Nak Jadi Bintang merupakan monolog atau penceritaan oleh gadis yang mahu menjadi ‘bintang” itu, Laut... memilih pendekatan penceritaan dari sudut pandangan isteri kepada lelaki yang menghadapi tuduhan sebagai pembunuh (Johan dalam Aku Nak Jadi Bintang?). Si isteri (Bulan) yang sangat setia dan percaya pada suaminya (Laut) itu sangat sukar untuk mempercayai kecurangan pasangannya, sehinggalah dia menemui bukti-bukti yang nyata.

Latarbelakang RAT

Rumah Anak Teater atau nama singkatannya RAT ditubuhkan secara tidak rasmi pada Oktober 2008. Ianya diasaskan oleh Nam Ron bersama beberapa anak muda graduan ASWARA. RAT adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan. Penubuhan RAT pada asasnya adalah bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja seni persembahan diteruskan oleh anak-anak muda melalui bengkel, diskusi dan persembahan. Bagi memastikan usaha-usaha ini bergerak, RAT telah melaksanakan suatu rancangan jangka panjang yang dinamakan Projek Komuniti Kental atau singkatannya Projek KoKen. Projek Komuniti Kental (KoKen) adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan penggiat muda seni persembahan yang menganggotai Rumah Anak Teater (RAT). Projek ini adalah sebagai satu landasan atau tapak bagi mereka berkongsi idea dan pemikiran dalam kerja-kerja seni persembahan dengan ahli masyarakat.

RAT memberi satu ruang untuk berkumpul, berkongsi, berkolaborasi dan melaksanakan kerja- kerja seni dalam bentuk produksi dan pengembangan serta penggalakan seni di Malaysia.

Tentang Oxygen Media

Oxygen Media lahir di tengah kekosongan buku-buku bersubyek seni budaya di dalam bahasa kebangsaan. Tidak banyak yang perlu diperkatakan, melainkan kami ingin menerbitkan sebanyak mungkin buku-buku berkisar seni dan budaya yang sering diabai dan dipinggir. Buku sangat penting untuk proses dokumentasi akan wujudnya karya & buah pemikiran yang berguna untuk referensi dan tujuan lainnya.Buku adalah media oksigen untuk penulis dan masyarakat bernafas dan memaknai hidup.


Program aturcara dan persembahan, sila klik di sini.

No comments:

Post a Comment