Wednesday, November 7, 2012
KENYATAAN MEDIA EXCO KEBUDAYAAN NEGERI SELANGOR
MENYAMPAI MAKLUMAT DAN MENDIDIK MASYARAKAT MELALUI MEDIUM KREATIF
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh
Pertama-tama kali ingin saya mengucapkan syukur kerana satu lagi projek pementasan teater dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kali ini melalui produksi Rumah Anak Teater melalui pementasan mereka Tattoo Gestapo.
Kebebasan berekspressi sesungguhnya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong usaha-usaha dalam meluahkan keluhan-keluhan mereka melalui karya-karya mereka. Kami bukan sahaja menyokong kebebasan berekspressi melalui pementasan teater tetapi juga sebelum ini menyokong seni-seni visual melalui Festival Filem Kebebasan yang dianjurkan oleh KOMAS. Saya percaya kebebasan perlu diberikan kepada penggiat-penggiat ini sekiranya kita mahu mengekalkan demokrasi di dalam Negara kita dan terus menjadi anggota kepada Majlis Hak Asasi Manusia di PBB. Kami juga percaya dalam kerajaan moden yang demokratik, seluruh rakyat perlu diberikan hak untuk menyuarakan dan menyatakan pandangan-pandangan mereka berkenaan dengan isu-isu yang berkeliaran di persekitaran kita. Masa hadapan demokrasi di Malaysia ini terletak dengan pemberian ruang yang luas untuk bebas berekspressi bukannya mengongkong rakyat yang ingin menyatakan secara aman.
Apa yang kami tawarkan kepada kumpulan-kumpulan seperti Rumah Anak Teater ini ialah kebebasan mereka berkarya tanpa perlu memohon sebarang permit mahu pun lesen hiburan melalui pementasan.
Apa yang menarik perhatian saya di dalam pementasan ini ialah isu yang dibawakan melalui karya Tattoo Gestapo. Kerajaan Negeri menyokong penyampaian maklumat melalui medium kreatif seperti pementasan teater, penulisan, ruang berpidato, lakonan dan apa-apa medium yang dapat menyantuni jiwa masyarakat dan mengajak masyarakat supaya berfikir untuk menentukan yang benar atau salah.
Dari aspek penahanan banduan pula, angka mereka yang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 di lima pusat tahanan; Simpang Renggam menempatkan 489, di Pusat Pemulihan Akhlak Machang pula menempatkan tahanan seramai 886 orang, di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah seramai 577 orang, dan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar pula menempatkan 208 tahanan muda di mana 37 daripadanya di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Jadi, hukuman gantung bukanlah penyelesaian untuk mengatasi masalah dadah di Negara kita. Apa yang lebih penting ialah kesedaran yang dipupuk. Oleh yang demikianlah, kami akan menumpu kempen-kempen kesedaran kita bagi menjauhkan kaum belia kita daripada dadah ialah dengan melalui pementasan teater ini disamping berhibur.
Saya sememangnya teruja dengan barisan produksi Rumah Anak Teater ini di bawah bimbingan Nam Ron. Saya ingin berterima kasih kepada para pelakon hebat Benjy dan Pekin Ibrahim yang pernah memenangi pelbagai anugerah selama mereka berkecimpung di dalam industri seni.
Saya menyeru seluruh warga Selangor khususnya untuk hadir menonton pementasan ini.
Sekian, terima kasih.
Rodziah Ismail
Exco Kebudayaan Negeri Selangor
Maklumat lanjut pementasan: http://www.facebook.com/events/417728471640359/
http://rumahanakteater.blogspot.com/
Setiausaha media: 012-2439242 (Hanafi Sudi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment