Monday, July 25, 2011

Faisal: Pegang teguh pada Prinsip, Tidak Tunduk pada Penaja

Berikut ialah sebahagian daripada temuramah yang dijalankan oleh pelajar UiTM, ‘AISYAH EZRAL untuk salah satu daripada kerja kuliah beliau yang dijalankan tidak berapa lama dahulu.

Kajian beliau yang meneliti kegiatan Rumah Anak Teater telah menemuramah Pengarah Urusan Rumah Anak Teater, FAISAL MUSTAFFA.


Temubual bersama Encik Faisal Mustaffa telah dijalankan menerusi panggilan telefon, dan
berjalan tanpa formaliti. Saya akan membentangkan segmen temubual ini menggunakan cara
Q&A iaitu soalan diikuti dengan jawapan. Jawapan daripada Encik Faisal tidaklah diambil bulat-
bulat dan telah diolah serba sedikit untuk menampakkan kekemasan dan supaya menepati skop
soalan.

1) Soalan: Apakah yang membezakan Rumah Anak Teater (RAT Production) dengan produksi teater lain? Apakah keistimewaan dan kelainan RAT?

Jawapan (J): Apa yang membezakan RAT Production dengan produksi teater lain adalah matlamat kami yang tidak menumpukan kepada keuntungan semata-mata.

Keuntungan bukanlah matlamat utama kami, sebaliknya pada peringkat awal, RAT Production ditubuhkan secara ‘loose’, sebagai ruang untuk kami berkarya. Dapat disimpulkan bahawa RAT lebih menyerupai sebuah persatuan, namun setelah beberapa lama barulah didaftarkan sebagai syarikat supaya memudahkan kerja-kerja penerbitan.

Selain itu, melihat kepada aspek pelaksanaan suatu projek teater, Rumah Anak Teater tidak mengamalkan kaedah kebiasaan produksi teater lain iaitu konsep ‘top-to-down’ iaitu orang atasan di produksi tersebut akan merancang apakah projek yang akan dipertanggungjawabkan kepada pihak pengarahannya untuk dilaksanakan. Sebaliknya di RAT, kami menggunakan konsep ‘bottom-to-top’ yakni secara kontranya, pihak yang akan bergiat sendiri dalam pementasan teater tersebut yang akan mengeluarkan dan merancang idea untuk projek tersebut, seterusnya barulah diserahkan kepada pihak atasan untuk mendapatkan kelulusan.


2) Soalan: Kalau dikatakan bukan untuk meraih keuntungan, bolehkah Encik Faisal terangkan dengan lebih spesifik lagi mengenai matlamat penubuhan dan pergerakan RAT Production?

J: Rumah Anak Teater (sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai RAT Production) pada mulanya hanya ditubuhkan secara ‘loose’ dan tidak formal. Pada peringkat awalnya, walaupun saya belum ditawarkan dan dilantik secara rasmi untuk memegang jawatan dalam RAT Production, kami semua yang terlibat dalam Rumah Anak Teater sudah lama berkawan dan berkongsi minat yang sama. Justeru, Rumah Anak Teater asalnya dibentuk supaya kami mempunyai suatu platform untuk kami bersama-sama berdiskusi mengenai pelbagai perkara yang berkaitan. Dengan wujudnya Rumah Anak Teater, walaupun setiap anggota masing-masing mempunyai full-time job, kami masih mempunyai ruang yang memberi peluang kepada kami untuk menggerakkan sesuatu yang diminati. Kami dapat buat apa yang kami betul-betul nak buat tanpa rasa terikat atau terpaksa, kerana apa yang kami buat bukanlah semata-mata untuk
mendapatkan imbuhan.

3) Soalan: Selain daripada penerangan yang disertakan dalam profail syarikat, apakah tugas-tugas lain Encik Faisal selaku Penerbit Eksekutif dan ‘pemegang amanah’ Rumah Anak Teater? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pemegang amanah’?

J: Mudah saja disimpulkan, sebagai pemegang amanah, semestinya saya memegang amanah untuk menjaga setiap aset syarikat. Contohnya dalam suatu projek pementasan teater, saya harus memastikan ‘props’ dan ‘equipment’ yang digunakan selamat dan berada dalam keadaan asal. Begitu juga dari segi kewangan, setiap pulangan yang diperoleh daripada apa-apa projek, saya akan pastikan pembahagian kepada setiap anggota projek sama ada pelakon atau kru berjalan dengan lancar, dan setiap anggota mendapat imbuhan, walaupun imbuhan bukanlah prioriti mereka.

Sebagai penerbit eksekutif pula, untuk melaksanakan sesuatu projek, khususnya pementasan teater, saya yang bertanggungjawab menyiapkan semua kertas kerja, ‘proposal’, mencari lokasi,
mendrafkan strategi pemasaran, pendek kata, saya yang mengusahakan segala kerja-kerja
atasan untuk menjayakan suatu projek pementasan teater.


4) Soalan: Dan semua itu dilakukan Encik Faisal seorang diri?

J: Ya, saya bekerja seorang, walaupun banyak beban kerja dan meletihkan, namun saya lebih selesa dan merasakan lebih mudah sebegitu. Saya sukar untuk mempercayai orang lain untuk melakukan tugasan yang mampu saya lakukan sendiri.


5) Soalan: Difahamkan bahawa Encik Faisal turut berperanan sebagai seorang dramaturge bagi projek-projek teater RAT. Bolehkah Encik Faisal terangkan dengan spesifik lagi apakah tugas seorang dramaturge, mungkin boleh kaitkan dengan salah satu pementasan teater RAT?

J: Dramaturge merupakan orang yang berperanan penting dalam melancarkan perjalanan cerita dan keberkesanan suatu pementasan teater. Sebagai dramaturge, samaada sebelum atau selepas terhasilnya suatu skrip pementasan, saya bertanggungjawab melakukan research mengenai tema dan persoalan yang diketengahkan melalui teater tersebut. Contohnya seperti teater TANDA yang ingin memaparkan kisah tanda-tanda kiamat dan kemusnahan alam. Sebelum terhasilnya cerita, sudah tentu saya harus mengkaji sedalam-dalamnya fakta yang sebenar mengenai tanda-tanda kiamat dari aspek sains dan juga agama.Sesuatu teater tidak sepatutnya menyampaikan fakta dan mesej yang salah kepada penonton.Dramaturg berkaitrapat dengan penulisan skrip.


6) Soalan: Sudah berapa lama Encik Faisal terlibat dengan RAT Production? Dan adakah Encik Faisal merancang untuk komited dengan RAT untuk jangka masa yang lama lagi? Apakah yang mendorong Encik Faisal untuk kekal dalam produksi ini?

J: Secara tidak rasminya, saya sudah bergerak secara sosial bersama anggota-anggota RAT sebelum tertubuhnya RAT dengan rasmi. Namun begitu saya tidak terlibat dengan pengasasannya, dan hanya setelah beberapa bulan tertubuhnya RAT barulah mereka menawarkan saya untuk bertugas secara rasmi di RAT. Saya sudah tiga tahun bersama RAT, dan saya berharap akan dapat terus memperjuangkan RAT selagi saya mampu dan jika Tuhan mengizinkan. Seni teater itu sendiri yang mendorong saya untuk terus terlibat dengan RAT, dan saya ingin memperjuangkan hak-hak penggerak teater yang ditindas oleh sesetengah pihak.


7) Soalan: Latar belakang pendidikan Encik Faisal jelas lebih menjurus kepada bidang perniagaan, jadi bagaiman Encik Faisal boleh terlibat dengan seni teater? Adakah Encik Faisal mengaplikasikan ilmu tersebut dalam pekerjaan kini? Atau menyimpang jauh?

J: Tidak menyimpang jauh, kerana saya bukan sahaja mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan, malahan bidang pengurusan juga. Justeru ilmu tersebut tetap berguna dalam tugasan-tugasan saya kini.


8) Soalan: Adakah sememangnya Encik Faisal sendiri berminat dalam bidang seni teater? Kerana dapat diperhatikan Encik Faisal turut menyumbangkan tenaga sebagai pelakon dalam beberapa pementasan teater RAT, contohnya Short Eyes.

J: Bidang seni lakon bukanlah salah satu daripada minat utama saya. Saya lebih selesa berada di balik tabir, dan tidak menonjolkan diri. Menjadi pelakon tambahan hanyalah sekadar untuk membantu dan memberi sokongan kepada rakan-rakan. Namun saya merupakan seorang pencinta seni. Sebelum saya terlibat dengan RAT, saya sudah lama bergerak dengan mengkritik filem dan teater.


9) Soalan: Apakah antara cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjadi seorang yang terlibat dengan produksi teater seperti RAT khususnya, dan bidang seni teater umumnya? Dan apakah kebaikan atau perkara yang disukai oleh Encik Faisal mengenai pekerjaan Encik Faisal?

J: Antara konsekuensi yang saya hadapi dalam menggerakan suatu projek teater adalah sekiranya saya terlepas pandang suatu perkara walaupun sekecil mana sekalipun, pihak saya akan mengalami kerugian. Meskipun keuntungan bukanlah prioriti utama kami, dan keuntungan yang bakal diperolehi tidaklah banyak, namun kerugian tetaplah sesuatu yang meruncingkan. Keduanya, saya rasa tercabar apabila hak-hak kami sebagai penggerak teater dihalang, contohnya hak bersuara dan mempertahankan diri.

Contoh terdekat adalah seperti projek teater TANDA kami yang dihalau keluar dan dikondem oleh pihak ASWARA. Petisi kami untuk mempertahankan diri langsung tidak mendapat respons. Dan semestinya, pasti akan kecewa jika sesuatu projek yang telah bertungkus-lumus kami cuba jayakan, gagal mendapat sambutan daripada orang awam atau penonton, contohnya seperti mesej yang ingin diketengahkan oleh suatu pementasan teater itu tidak sampai kepada penonton.

Pementasan TANDA


Seterusnya, apa yang saya sangat suka mengenai penglibatan saya dalam bidang ini ialah peluang untuk bekerja dengan banyak pihak yang datang daripada pelbagai latar belakang. Di samping dapat bersosial dengan kenalan baru dan lama, saya jugak dapat bersaing dalam industri seni tanah air, dan itu adalah satu kepuasan buat saya.Selain itu, saya juga berasa puas hati kerana dapat melaksanakan sesuatu yang benar-benar saya mahukan, iaitu untuk menyampaikan mesej melalui perantaraan seni.


10) Soalan: Baiklah sebelum saya mengakhiri temuramah saya, ini soalan terakhir saya. Apakah harapan dan matlamat Encik Faisal untuk RAT khususnya, dan industri teater tanah air umumnya?

Jawapan: Harapan saya adalah agar masyarakat awam dapat menghargai seni melalui teater kerana masalah yang dihadapi sekarang adalah kos produksi yang melebihi kuasa membeli kerana kurang pasaran. Saya harap penggiat teater dapat berpegang teguh pada prinsip mereka, dan tidak tunduk pada penaja-penaja korporat yang mata duitan. Matlamat saya bagi RAT adalah supaya RAT dapat sampai kepada mass market dan bukan hanya kepada golongan minoriti seperti sekarang.

Saturday, July 23, 2011

Masih Mahukah Kau Berdiam?

Kami Rakyat, dengan sekeras-kerasnya membantah penahanan 6 aktivis Parti Sosialis Malaysia(PSM) dibawah Ordinan Darurat(EO). Kami mendesak kesemua mereka dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka. Penahanan mereka seterusnya adalah salahguna kuasa dan satu pencabulan hak asasi manusia.

6 orang yang ditahan adalah aktivis sosial dan ahli PSM yang banyak berjuang untuk rakyat secara terbuka. Mereka semua terlibat dalam isu-isu seperti perumahan selesa untuk rakyat, gaji minima untuk pekerja, hak pekerja kilang dan ladang, pendidikan percuma untuk pelajar, sistem kesihatan yang mampu dibiayai oleh rakyat dan banyak lagi aktiviti dan kempen yang dijalankan secara terbuka.

Malah Dr. Jeyakumar adalah Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat secara
demokrasi. Pihak PDRM pastinya mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh aktivis PSM ini kerana semua program ini dibuat secara terbuka. Mereka bukannya sekumpulan pengganas atau penjenayah yang merancang untuk
menguling kerajaan.

Tandatangani petisyen di sini: http://www.petitiononline.com/mod_perl/signed.cgi?eo6&451

sumber:
http://www.parti-sosialis.org/

Wednesday, July 13, 2011

Avroco Nasir Dalam Kenangan (1974-2011)


puisi buat tuan Avroco Nasir

Oleh : Dib Jual Kata

tuan avroco,

tidak sekali kita pernah bertegur sapa

apa lagi duduk semeja borak bicara



tuan avroco,

Disember 2010

masih aku ingat kali pertama melihat tuan

mengiringi teman bersembah di pentas

ya.. aku juga bersembah di pentas yang sama

auditorium balai seni lukis negara.



tuan avroco,

jika mampu tuan ingat kembali

akulah perempuan malu-malu yang senyum

akulah perempuan malu-malu yang kagum

dengan diri tuan ketika itu



tuan avroco,

semasa di balai seni itu

tuan dilihat sangat pemalu

aku dan teman siap terpaku

''keciknya mamat tu, gitar besar dari dia. comel kan?"

tutur aku dan sahabatku.



tuan avroco,

setelah habis acara

aku dan sahabat tersengih-sengih turun tangga

bila melihat yg di depan kami

sedang tergesa-gesa itu,

adalah tuan



tuan avroco,

setelah itu, siapa gerangan tuan

hanyalah menjadi tanda tanya

tuan sememangnya sudah terkenal

cuma aku yang masih mentah,

lagenda seperti tuan, aku tidak kenal

segan aku rasa

maafkan aku tuan.



tanggal 9 Julai 2011,

buat semua manusia mengingati BERSIH 2.0,

buat aku satu cerita lain diberi Tuhan.



tuan avroco,

menerima kedatangan tuan

dalam keadaan sakit

buat aku jadi bisu.



yang lebih sakitnya tuan,

sungguh2 aku tidak mengenal tuan

badan tuan sangat kurus

di dalam mata tuan berwarna kuning

ya jelas tuan sakit.

maaf tuan kerana sekali lagi tidak mengenali tuan

kerana setahun yg lalu

nama tuan sahaja aku tidak pernah tahu

inikan pula bila tuan mendatangiku seperti itu

maaf sekali lagi tuan.



dan malam itu tuan,

aku tidak bisa tidur memikirkan tuan

di dalam hati terasa lain

sekali-sekala aku menjenguk bilik

tuan dilihat tidak bisa juga tidur

maaf aku tidak membantu tuan,

sehinggakan gagah tuan ke tandas berseorangan.



tuan avroco,

ketahuilah setelah aku sampai sarawak

sentiasa tertanya-tanya aku siapa tuan sebenarnya

magnet tuan terlalu kuat

di internet aku mencari video-video

tuan bersembah.



"oh rupanya dia!"



14 Julai 2011



pemergian kau,

tuan avroco

cukup buat aku rasa bersalah

atas tidak bisa menjaga tuan dengan elok malam itu

atas tidak mengenali tuan malam itu.



selamat pergi, tuan avroco

bertemulah tuan dan tuhan.

semoga ketemu lagi.



tuan avroco, the legend.



notakaki: rest in peace, tuan avroco. al-fatihah.

Oleh:

*Avroco - anggota krew SHORT EYES di The Actor's Studio KL

Tuesday, July 5, 2011

Buku ‘Bogel Menuju Tuhan’ Zahiril Laris


KUALA LUMPUR: Buku antologi puisi dan catatan berjudul Bogel Menuju Tuhan karya pelakon Zahiril Adzim semakin laris dijual dan kini memasuki cetakan kedua.

Menurut pelakon drama Juvana ini, buku yang telah dicetak 1,000 buah itu bakal ditambah 1,000 buah lagi memandangkan permintaan terhadap buku itu meningkat.

Berita selanjutnya di sini.

Friday, July 1, 2011

Peludah Warna - A. Samad Said

Puisi: A. Samad Said
Muzik: Az Samad

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

1. 7. 11. A. SAMAD SAID

Dengarkan deklamasi A. Samad Said di sini.

Hanya Bogel Menuju Tuhan, Luahan Rasa Zahiril Adzim


Pelakon, Zahiril Adzim percaya dirinya dan semua umat Islam yang lain hanya akan berada dalam keadaan 'bogel' menuju Tuhan bila saat seseorang itu untuk kembali kepadaNya tiba kelak.

Artikel penuh di sini.

*Alamat web untuk belian online yang tertera sebetulnya ialah http://tokobuku.fotopages.com