Saturday, August 20, 2011

Trailer SeNaPas





Dilakonkan oleh Aznah Mohamed Ramli dan Hasbullah Boolat.


Keterangan lanjut pementasan di sini.

Saturday, August 6, 2011

Pelakon Teater SeNaPas - Aznah Mohamed Ramli


Aznah Binti Mohamed Ramli Anak jati Negeri Perak ini merupakan seorang anak muda yang berjiwa besar dalam industry seni teater. Beliau menyandang gelaran graduan diploma teater Aswara dalam pengkhususan lakonan. Sepanjang pengajian di Aswara, Aznah telah melibatkan diri dalam pelbagai bidang kerja seperti krew pentas untuk The Crusible dan The Castle, Bahagian Mekap untuk Bangsawan Raden Galoh dan West Side Story dan lain-lain. Antara pementasan teater yang mendapat sentuhan lakonan dari beliau adalah Opera Primadona, Teater Eksperimental Kapital Mall, Teater Klasik Lysistrata, Teater Kanak-kanak Bila Zoo di tutup dan lain-lain. Di samping itu, beliau juga pernah terlibat sebagai pelakon extra dalam drama Pria terbitan Astro dan Kl Menjerit.

Keterangan lanjut mengenai pementasan SeNaPas di sini.

Friday, August 5, 2011

Pelakon Teater SeNaPas


Hasbullah Solehin Bin Zamri atau lebih mesra dengan panggilan Bulat, merupakan salah seorang graduan Aswara jurusan diploma teater dalam pengkhususan lakonan. Anak muda berusia 26 tahun ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang teater. Antara penglibatan beliau adalah seperti ‘Muzikal Gamat’ arahan Zaifri Husin yang pernah di pentaskan di Aswara, Istana Budaya dan Taman Budaya, Perlis, sebagai Ikan Buntal. Selain daripada itu, beliau juga pernah berlakon dalam pelbagai genre teater seperti Teater kanak-kanak SRI AYU 2007, Teater Moden LAWYER DAHLAN, Teater Klasik MACTBETH, VERTIGO arahan Nam Ron, Teater Bangsawan Raden Galoh dan banyak lagi. Di samping itu, minat yang mendalam terhadap seni tidak membataskan penglibatanya hanya sebagai seorang pelakon tetapi juga Hasbullah merupakan salah seorang anggota perkusi dalam White Percusion.

Maklumat lanjut mengenai pementasan di sini.

Wednesday, August 3, 2011

Biodata Pengarah Teater ‘SeNaPaS’


Khairunazwan Rodzy merupakan salah seorang graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Teater dalam pengkhususan pengarahan dan bergiat aktif sebagai aktivis teater di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau merupakan seorang pengarah muda yang sangat berbakat dan mendapat perhatian serta kepercayaan pelbagai pihak. Antaranya, ASWARA yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau menjadi pengarah teater muzikal bertajuk ‘Muzikal Tun Abdul Razak’ (2008) yang telah di pentaskan di Panggung Eksperimental Aswara. Di samping itu, beliau juga mendapat kepercayaan tinggi dari pengarah filem popular terkenal iaitu Erma Fatima yang melantik beliau sebagai penolong pengarah kepada teater arahan Erma Fatima sendiri di Istana Budaya dalam pementasan ‘Teater Sirah Junjungan’, ‘Sirah Junjungan Tahajud Cinta’ Dan ‘Teater Natrah’.
Selain daripada itu, Khairunazwan Rodzy merupakan seorang pendidik yang berkaliber. Beliau pernah menjadi tenaga pengajar untuk rancangan realiti TV ‘Pilih KASIH 1 dan 2’ terbitan RTM. Beliau juga mempunyai banyak pengalaman dalam pengarahan teater. Antara teater yang pernah diarahkan oleh beliau ialah ‘Pegawai Khalwat (ASWARA)’ , ‘Teater Eksperimental; Manusia Hina (ASWARA)’ , ‘Muzikal Uda dan Dara (ASWARA)’, ‘No Exit (ASWARA)’, ‘Romeo dan Juliet (ASWARA)’, ‘Gema Merdeka – Perjuangan Belum Selesai (ASWARA)’, ‘Waktu – Sebuah Eksperimen Merdeka (MTC)’, ‘Gema Merdeka – Muzikal Tun Abdul Razak (ASWARA. 2008 )’, ‘TyIcKoUnS – Tycoon (ASWARA)’, ‘Projek Koken – Pokok Kelapa Sayang (Stor DBP)’, ‘Projek Koken – Tanda – Ikan Paus (PJLa)’ , 'Selamat Jalan Anak Kafir (Stor DBP)' , ‘Pokok Kelapa Sayang (UM, SOLARIS, ASWARA)’, ‘Menyerahnya Seorang Perempuan (PeTA ASWARA)’ dan banyak lagi.

Baru-baru ini, beliau telah diberi kepercayaan oleh Istana Budaya untuk menjadi pengarah kepada pementasan ‘Teater Badai Semalam’ yang bakal dipentaskan pada bulan November 2011 di Panggung Sari Istana Budaya.

Maklumat lanjut mengenai pementasan ini di sini.

Monday, August 1, 2011

Pementasan Teater SeNaPas


Sinopsis

‘Sejarah Nasib Lepas’ (‘SeNaPas’), Razak merupakan anak muda yang dikatakan berpendirian matang yang hadir dari keluarga yang mengamalkan kehidupan yang bertitik tolak dari rasa cinta. Pertemuan Razak dengan Kamariah iaitu guru tuisyennya telah memutikkan sebuah rasa cinta diantara mereka akhirnya merubahkan kehidupan Razak kepada kehidupan yang benar-benar matang. Kamariah yang lebih usia daripada Razak telah berjanji untuk bersama Razak demi cinta mereka walaupun keluarga kedua-dua pihak membantah keras, mereka akhirnya telah bersekedudukan jauh daripada keluarga dan hidup sebagai sepasang suami Isteri yang sah. Maka bermulalah KISAH CINTA BERNAFAS HARAM. Setelah lama bersekedudukan, pada suatu hari Kamariah hamil dan mereka spakat untuk menggugurkan kandungan. Pelbagai kaedah telah dilakukan tetapi semuanya gagal. Suatu hari, saudara Kamariah berjumpa Kamariah dan mengetahui keadaan Kamariah lalu memberitahu keluarganya. Razak dan Kamariah teruk dibelasah oleh keluarga masing-masing. Akhirnya mereka bersetuju membenarkan pasangan ini bernikah sehingga tempoh berpantang tamat kemudian mereka dikehendaki berpisah dan anak itu diserahkan kepada pihak lain. Selepas melahirkan, Kamariah dan Razak seakan berat hati untuk menyerahkan anak mereka dan berharap agar kedua-dua orang tua mereka berubah hati dengan keputusan terdahulu apabila melihat anak mereka.

Keterangan lanjut mengenai pementasan di sini.

Monday, July 25, 2011

Faisal: Pegang teguh pada Prinsip, Tidak Tunduk pada Penaja

Berikut ialah sebahagian daripada temuramah yang dijalankan oleh pelajar UiTM, ‘AISYAH EZRAL untuk salah satu daripada kerja kuliah beliau yang dijalankan tidak berapa lama dahulu.

Kajian beliau yang meneliti kegiatan Rumah Anak Teater telah menemuramah Pengarah Urusan Rumah Anak Teater, FAISAL MUSTAFFA.


Temubual bersama Encik Faisal Mustaffa telah dijalankan menerusi panggilan telefon, dan
berjalan tanpa formaliti. Saya akan membentangkan segmen temubual ini menggunakan cara
Q&A iaitu soalan diikuti dengan jawapan. Jawapan daripada Encik Faisal tidaklah diambil bulat-
bulat dan telah diolah serba sedikit untuk menampakkan kekemasan dan supaya menepati skop
soalan.

1) Soalan: Apakah yang membezakan Rumah Anak Teater (RAT Production) dengan produksi teater lain? Apakah keistimewaan dan kelainan RAT?

Jawapan (J): Apa yang membezakan RAT Production dengan produksi teater lain adalah matlamat kami yang tidak menumpukan kepada keuntungan semata-mata.

Keuntungan bukanlah matlamat utama kami, sebaliknya pada peringkat awal, RAT Production ditubuhkan secara ‘loose’, sebagai ruang untuk kami berkarya. Dapat disimpulkan bahawa RAT lebih menyerupai sebuah persatuan, namun setelah beberapa lama barulah didaftarkan sebagai syarikat supaya memudahkan kerja-kerja penerbitan.

Selain itu, melihat kepada aspek pelaksanaan suatu projek teater, Rumah Anak Teater tidak mengamalkan kaedah kebiasaan produksi teater lain iaitu konsep ‘top-to-down’ iaitu orang atasan di produksi tersebut akan merancang apakah projek yang akan dipertanggungjawabkan kepada pihak pengarahannya untuk dilaksanakan. Sebaliknya di RAT, kami menggunakan konsep ‘bottom-to-top’ yakni secara kontranya, pihak yang akan bergiat sendiri dalam pementasan teater tersebut yang akan mengeluarkan dan merancang idea untuk projek tersebut, seterusnya barulah diserahkan kepada pihak atasan untuk mendapatkan kelulusan.


2) Soalan: Kalau dikatakan bukan untuk meraih keuntungan, bolehkah Encik Faisal terangkan dengan lebih spesifik lagi mengenai matlamat penubuhan dan pergerakan RAT Production?

J: Rumah Anak Teater (sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai RAT Production) pada mulanya hanya ditubuhkan secara ‘loose’ dan tidak formal. Pada peringkat awalnya, walaupun saya belum ditawarkan dan dilantik secara rasmi untuk memegang jawatan dalam RAT Production, kami semua yang terlibat dalam Rumah Anak Teater sudah lama berkawan dan berkongsi minat yang sama. Justeru, Rumah Anak Teater asalnya dibentuk supaya kami mempunyai suatu platform untuk kami bersama-sama berdiskusi mengenai pelbagai perkara yang berkaitan. Dengan wujudnya Rumah Anak Teater, walaupun setiap anggota masing-masing mempunyai full-time job, kami masih mempunyai ruang yang memberi peluang kepada kami untuk menggerakkan sesuatu yang diminati. Kami dapat buat apa yang kami betul-betul nak buat tanpa rasa terikat atau terpaksa, kerana apa yang kami buat bukanlah semata-mata untuk
mendapatkan imbuhan.

3) Soalan: Selain daripada penerangan yang disertakan dalam profail syarikat, apakah tugas-tugas lain Encik Faisal selaku Penerbit Eksekutif dan ‘pemegang amanah’ Rumah Anak Teater? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pemegang amanah’?

J: Mudah saja disimpulkan, sebagai pemegang amanah, semestinya saya memegang amanah untuk menjaga setiap aset syarikat. Contohnya dalam suatu projek pementasan teater, saya harus memastikan ‘props’ dan ‘equipment’ yang digunakan selamat dan berada dalam keadaan asal. Begitu juga dari segi kewangan, setiap pulangan yang diperoleh daripada apa-apa projek, saya akan pastikan pembahagian kepada setiap anggota projek sama ada pelakon atau kru berjalan dengan lancar, dan setiap anggota mendapat imbuhan, walaupun imbuhan bukanlah prioriti mereka.

Sebagai penerbit eksekutif pula, untuk melaksanakan sesuatu projek, khususnya pementasan teater, saya yang bertanggungjawab menyiapkan semua kertas kerja, ‘proposal’, mencari lokasi,
mendrafkan strategi pemasaran, pendek kata, saya yang mengusahakan segala kerja-kerja
atasan untuk menjayakan suatu projek pementasan teater.


4) Soalan: Dan semua itu dilakukan Encik Faisal seorang diri?

J: Ya, saya bekerja seorang, walaupun banyak beban kerja dan meletihkan, namun saya lebih selesa dan merasakan lebih mudah sebegitu. Saya sukar untuk mempercayai orang lain untuk melakukan tugasan yang mampu saya lakukan sendiri.


5) Soalan: Difahamkan bahawa Encik Faisal turut berperanan sebagai seorang dramaturge bagi projek-projek teater RAT. Bolehkah Encik Faisal terangkan dengan spesifik lagi apakah tugas seorang dramaturge, mungkin boleh kaitkan dengan salah satu pementasan teater RAT?

J: Dramaturge merupakan orang yang berperanan penting dalam melancarkan perjalanan cerita dan keberkesanan suatu pementasan teater. Sebagai dramaturge, samaada sebelum atau selepas terhasilnya suatu skrip pementasan, saya bertanggungjawab melakukan research mengenai tema dan persoalan yang diketengahkan melalui teater tersebut. Contohnya seperti teater TANDA yang ingin memaparkan kisah tanda-tanda kiamat dan kemusnahan alam. Sebelum terhasilnya cerita, sudah tentu saya harus mengkaji sedalam-dalamnya fakta yang sebenar mengenai tanda-tanda kiamat dari aspek sains dan juga agama.Sesuatu teater tidak sepatutnya menyampaikan fakta dan mesej yang salah kepada penonton.Dramaturg berkaitrapat dengan penulisan skrip.


6) Soalan: Sudah berapa lama Encik Faisal terlibat dengan RAT Production? Dan adakah Encik Faisal merancang untuk komited dengan RAT untuk jangka masa yang lama lagi? Apakah yang mendorong Encik Faisal untuk kekal dalam produksi ini?

J: Secara tidak rasminya, saya sudah bergerak secara sosial bersama anggota-anggota RAT sebelum tertubuhnya RAT dengan rasmi. Namun begitu saya tidak terlibat dengan pengasasannya, dan hanya setelah beberapa bulan tertubuhnya RAT barulah mereka menawarkan saya untuk bertugas secara rasmi di RAT. Saya sudah tiga tahun bersama RAT, dan saya berharap akan dapat terus memperjuangkan RAT selagi saya mampu dan jika Tuhan mengizinkan. Seni teater itu sendiri yang mendorong saya untuk terus terlibat dengan RAT, dan saya ingin memperjuangkan hak-hak penggerak teater yang ditindas oleh sesetengah pihak.


7) Soalan: Latar belakang pendidikan Encik Faisal jelas lebih menjurus kepada bidang perniagaan, jadi bagaiman Encik Faisal boleh terlibat dengan seni teater? Adakah Encik Faisal mengaplikasikan ilmu tersebut dalam pekerjaan kini? Atau menyimpang jauh?

J: Tidak menyimpang jauh, kerana saya bukan sahaja mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan, malahan bidang pengurusan juga. Justeru ilmu tersebut tetap berguna dalam tugasan-tugasan saya kini.


8) Soalan: Adakah sememangnya Encik Faisal sendiri berminat dalam bidang seni teater? Kerana dapat diperhatikan Encik Faisal turut menyumbangkan tenaga sebagai pelakon dalam beberapa pementasan teater RAT, contohnya Short Eyes.

J: Bidang seni lakon bukanlah salah satu daripada minat utama saya. Saya lebih selesa berada di balik tabir, dan tidak menonjolkan diri. Menjadi pelakon tambahan hanyalah sekadar untuk membantu dan memberi sokongan kepada rakan-rakan. Namun saya merupakan seorang pencinta seni. Sebelum saya terlibat dengan RAT, saya sudah lama bergerak dengan mengkritik filem dan teater.


9) Soalan: Apakah antara cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjadi seorang yang terlibat dengan produksi teater seperti RAT khususnya, dan bidang seni teater umumnya? Dan apakah kebaikan atau perkara yang disukai oleh Encik Faisal mengenai pekerjaan Encik Faisal?

J: Antara konsekuensi yang saya hadapi dalam menggerakan suatu projek teater adalah sekiranya saya terlepas pandang suatu perkara walaupun sekecil mana sekalipun, pihak saya akan mengalami kerugian. Meskipun keuntungan bukanlah prioriti utama kami, dan keuntungan yang bakal diperolehi tidaklah banyak, namun kerugian tetaplah sesuatu yang meruncingkan. Keduanya, saya rasa tercabar apabila hak-hak kami sebagai penggerak teater dihalang, contohnya hak bersuara dan mempertahankan diri.

Contoh terdekat adalah seperti projek teater TANDA kami yang dihalau keluar dan dikondem oleh pihak ASWARA. Petisi kami untuk mempertahankan diri langsung tidak mendapat respons. Dan semestinya, pasti akan kecewa jika sesuatu projek yang telah bertungkus-lumus kami cuba jayakan, gagal mendapat sambutan daripada orang awam atau penonton, contohnya seperti mesej yang ingin diketengahkan oleh suatu pementasan teater itu tidak sampai kepada penonton.

Pementasan TANDA


Seterusnya, apa yang saya sangat suka mengenai penglibatan saya dalam bidang ini ialah peluang untuk bekerja dengan banyak pihak yang datang daripada pelbagai latar belakang. Di samping dapat bersosial dengan kenalan baru dan lama, saya jugak dapat bersaing dalam industri seni tanah air, dan itu adalah satu kepuasan buat saya.Selain itu, saya juga berasa puas hati kerana dapat melaksanakan sesuatu yang benar-benar saya mahukan, iaitu untuk menyampaikan mesej melalui perantaraan seni.


10) Soalan: Baiklah sebelum saya mengakhiri temuramah saya, ini soalan terakhir saya. Apakah harapan dan matlamat Encik Faisal untuk RAT khususnya, dan industri teater tanah air umumnya?

Jawapan: Harapan saya adalah agar masyarakat awam dapat menghargai seni melalui teater kerana masalah yang dihadapi sekarang adalah kos produksi yang melebihi kuasa membeli kerana kurang pasaran. Saya harap penggiat teater dapat berpegang teguh pada prinsip mereka, dan tidak tunduk pada penaja-penaja korporat yang mata duitan. Matlamat saya bagi RAT adalah supaya RAT dapat sampai kepada mass market dan bukan hanya kepada golongan minoriti seperti sekarang.

Saturday, July 23, 2011

Masih Mahukah Kau Berdiam?

Kami Rakyat, dengan sekeras-kerasnya membantah penahanan 6 aktivis Parti Sosialis Malaysia(PSM) dibawah Ordinan Darurat(EO). Kami mendesak kesemua mereka dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka. Penahanan mereka seterusnya adalah salahguna kuasa dan satu pencabulan hak asasi manusia.

6 orang yang ditahan adalah aktivis sosial dan ahli PSM yang banyak berjuang untuk rakyat secara terbuka. Mereka semua terlibat dalam isu-isu seperti perumahan selesa untuk rakyat, gaji minima untuk pekerja, hak pekerja kilang dan ladang, pendidikan percuma untuk pelajar, sistem kesihatan yang mampu dibiayai oleh rakyat dan banyak lagi aktiviti dan kempen yang dijalankan secara terbuka.

Malah Dr. Jeyakumar adalah Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat secara
demokrasi. Pihak PDRM pastinya mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh aktivis PSM ini kerana semua program ini dibuat secara terbuka. Mereka bukannya sekumpulan pengganas atau penjenayah yang merancang untuk
menguling kerajaan.

Tandatangani petisyen di sini: http://www.petitiononline.com/mod_perl/signed.cgi?eo6&451

sumber:
http://www.parti-sosialis.org/

Wednesday, July 13, 2011

Avroco Nasir Dalam Kenangan (1974-2011)


puisi buat tuan Avroco Nasir

Oleh : Dib Jual Kata

tuan avroco,

tidak sekali kita pernah bertegur sapa

apa lagi duduk semeja borak bicara



tuan avroco,

Disember 2010

masih aku ingat kali pertama melihat tuan

mengiringi teman bersembah di pentas

ya.. aku juga bersembah di pentas yang sama

auditorium balai seni lukis negara.



tuan avroco,

jika mampu tuan ingat kembali

akulah perempuan malu-malu yang senyum

akulah perempuan malu-malu yang kagum

dengan diri tuan ketika itu



tuan avroco,

semasa di balai seni itu

tuan dilihat sangat pemalu

aku dan teman siap terpaku

''keciknya mamat tu, gitar besar dari dia. comel kan?"

tutur aku dan sahabatku.



tuan avroco,

setelah habis acara

aku dan sahabat tersengih-sengih turun tangga

bila melihat yg di depan kami

sedang tergesa-gesa itu,

adalah tuan



tuan avroco,

setelah itu, siapa gerangan tuan

hanyalah menjadi tanda tanya

tuan sememangnya sudah terkenal

cuma aku yang masih mentah,

lagenda seperti tuan, aku tidak kenal

segan aku rasa

maafkan aku tuan.



tanggal 9 Julai 2011,

buat semua manusia mengingati BERSIH 2.0,

buat aku satu cerita lain diberi Tuhan.



tuan avroco,

menerima kedatangan tuan

dalam keadaan sakit

buat aku jadi bisu.



yang lebih sakitnya tuan,

sungguh2 aku tidak mengenal tuan

badan tuan sangat kurus

di dalam mata tuan berwarna kuning

ya jelas tuan sakit.

maaf tuan kerana sekali lagi tidak mengenali tuan

kerana setahun yg lalu

nama tuan sahaja aku tidak pernah tahu

inikan pula bila tuan mendatangiku seperti itu

maaf sekali lagi tuan.



dan malam itu tuan,

aku tidak bisa tidur memikirkan tuan

di dalam hati terasa lain

sekali-sekala aku menjenguk bilik

tuan dilihat tidak bisa juga tidur

maaf aku tidak membantu tuan,

sehinggakan gagah tuan ke tandas berseorangan.



tuan avroco,

ketahuilah setelah aku sampai sarawak

sentiasa tertanya-tanya aku siapa tuan sebenarnya

magnet tuan terlalu kuat

di internet aku mencari video-video

tuan bersembah.



"oh rupanya dia!"



14 Julai 2011



pemergian kau,

tuan avroco

cukup buat aku rasa bersalah

atas tidak bisa menjaga tuan dengan elok malam itu

atas tidak mengenali tuan malam itu.



selamat pergi, tuan avroco

bertemulah tuan dan tuhan.

semoga ketemu lagi.



tuan avroco, the legend.



notakaki: rest in peace, tuan avroco. al-fatihah.

Oleh:

*Avroco - anggota krew SHORT EYES di The Actor's Studio KL

Tuesday, July 5, 2011

Buku ‘Bogel Menuju Tuhan’ Zahiril Laris


KUALA LUMPUR: Buku antologi puisi dan catatan berjudul Bogel Menuju Tuhan karya pelakon Zahiril Adzim semakin laris dijual dan kini memasuki cetakan kedua.

Menurut pelakon drama Juvana ini, buku yang telah dicetak 1,000 buah itu bakal ditambah 1,000 buah lagi memandangkan permintaan terhadap buku itu meningkat.

Berita selanjutnya di sini.

Friday, July 1, 2011

Peludah Warna - A. Samad Said

Puisi: A. Samad Said
Muzik: Az Samad

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

1. 7. 11. A. SAMAD SAID

Dengarkan deklamasi A. Samad Said di sini.

Hanya Bogel Menuju Tuhan, Luahan Rasa Zahiril Adzim


Pelakon, Zahiril Adzim percaya dirinya dan semua umat Islam yang lain hanya akan berada dalam keadaan 'bogel' menuju Tuhan bila saat seseorang itu untuk kembali kepadaNya tiba kelak.

Artikel penuh di sini.

*Alamat web untuk belian online yang tertera sebetulnya ialah http://tokobuku.fotopages.com

Tuesday, June 28, 2011

Kenapa perlu BOGEL MENUJU TUHAN


Oleh FAISAL MUSTAFFA

Sebuah karya Zahiril Adzim, bukunya ini menimbulkan banyak prasangka. Aku bertanya kepada diriku sendiri, “bukankah kita semua akan berbogel di Padang Mahsyar nanti?”

Memetik daripada catatannya berjudul “Bogelnya Si Pejalan Menuju Tuhan”, Zahiril Adzim berkata,

“Seperti baru terjaga dari tidur. Waktu itu bangun dari katil adalah keputusan sendiri, angkat tangan adalah keputusan sendiri, capai tuala adalah keputusan sendiri. Tidak seperti mimpi, yang kita sendiri pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menggerakkan plot mimpi tadi. Sebab itu sedar - sedar, kita sudah berjalan. Bukan baru melangkah mula. Jadi, dengan lengkapnya berpakaian yang sedang berjalan, itulah kehidupan. Terus berjalan. Namun, kejap - kejap berjalan, rambut kita ditiup angin. Habis rosak gayanya. Itulah halangan. Kita jalan lagi terusnya. Dengan gaya rambut malapetaka.”

Sekiranya kita ditakdirkan hilang seluruh pakaian dan akhirnya menuju ajal, apa yang boleh kita lakukan? Ya, kita akan dikafankan. Tetapi, dalam perjalanan sebelum dikafankan itu, apa daya kita?

Di dalam proses pembikinan buku, selaku penerbit dan penyunting, aku memberikan sepenuh
Kebebasan kepada Zahiril Adzim ini untuk memilihnya. Lalu lahirlah sebuah lagi catatan beliau, “AKU TAK TAHU, APATAH LAGI NAK BAGI TAJUK”. Di dalamnya ditulis,

“Aku, sebenarnya hanya roh yang tinggal dalam tubuh badan manusia yang dipinjamkan ini. Aku berada di belakang - belakang kulit, isi, daging, urat, darah dan tulang - tulang. Yang terlihat oleh mak bapak aku, famili aku, kawan - kawan, sedara - mara dan semua orang itu hanya tubuh badan atau kamu semua panggil Zahiril Adzim. Tapi itu hanya objek pejal yang wujud dan boleh disentuh!”



Aku tersenyum, puas.

Aku minta pandangan beberapa teman untuk memberi komen tentang bukunya ini.

Seorang blogger tersohor, Hanis Zalikha menulis, “Memang. Menulis tentang Zahiril Adzim adalah seperti membikin lagi satu karya altogether. Dia penulis yang paling pandai menggunakan perumpaan paling santai untuk sesuatu yang paling kritikal. Dia takkan spoon-feed you free-free aja. Paling-paling pun, dia cuma akan provide kepingan jigsaw untuk kita cantum, dan bahan-bahan binaan untuk kita construct imaginasi revolving his piece. Perlahan-lahan kita akan lihat relevannya setiap gambaran, satu-persatu mesej mula terungkai.”

Seorang lagi celebrity blogger, Sultanmuzaffar pula berkata, “Bait-bait rangkap bermadah yang dilakar punya makna tersendiri. Membaca tulisannya bak membaca karya Sasterawan Negara yang bahasanya penuh berbunga-bunga (mungkin kerana dalam hatinya sekarang ada taman).”

Namun, aku rasa bangga dan berpuas hati kerana aku dapat merealisasikan impian seseorang. Impiannya untuk menaskahkan perasaannya, rasa hatinya, cintanya dan kemarahannya.

Menurut kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Nora Murat, “Persoalan ini perlu di tanya oleh setiap individu kepada diri sendiri dalam mencorak perjalanan hidup mereka. Zahiril Adzim ternyata telah menyoal dirinya sendiri berulang kali dan ia jelas kelihatan di dalam setiap nukilan dan puisi yang terdapat dalam ‘Bogel Menuju Tuhan’. Pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ini telah membogelkan fikirannya dan mempersembahkan ia untuk diratah oleh pembaca. Dan beliau telah mampu mengajak pembaca untuk menuruti rentak pemikirannya dan bertanyakan soalan yang sama.”

Maka, sama-samalah kita meraikannya.

PS: buku “BOGEL MENUJU TUHAN” boleh dibeli secara online di http://tokobuku.fotopages.com

Thursday, June 23, 2011

Zahiril Bogel Menuju Tuhan


Pelakon drama bersiri popular, Juvana iaitu Zahiril Adzim terjun ke dunia penulisan yang bukan sesuatu yang baru baginya setelah mengecap populariti di medium teater, televisyen dan filem. Terbaru, pelakon yang dikenali di pentas teater menerusi teater AirCon itu melancarkan buku terbarunya yang bertajuk “Bogel Menuju Tuhan”.

Berita selanjutnya di sini.

Tuesday, June 14, 2011

PELANCARAN BUKU "BOGEL MENUJU TUHAN" + "PADA SEBUAH KETENTUAN"


Pelancaran buku

BOGEL MENUJU TUHAN – ZAHIRIL ADZIM

Tidak ada manusia terlepas dari dugaanNya. Maka, tidak adalah manusia yang tidak akan menempuh satu tempoh kesakitan, penuh perit dan pedih dalam hidupnya. Aku simpulkan, buku ini adalah antalogi catatan dan puisi, sewaktu aku dalam hari-hari tidak berwarna, sebelum Jingga - Zahiril Adzim

Persembahan khas dari Shera Aiyob, pengacara Wanita Hari Ini, dan Sharifah Amani, pengarah dan pelakon. Juga Riz Ainuddin (pelakon, model, juara Maskulin).

Belian secara online di sini.

PADA SEBUAH KETENTUAN – puisi + catatan AYAM FARED

Ayam Fared pernah cakap dekat aku dulu bila ditanya, macam mana dia boleh cool bila berhadapan dengan sekumpulan polis agresif. Katanya, dia boleh cool sebab satu benda: Puisi. Ini, mukasurat seterusnya ialah mengenai Ayam Fared. Ayam Fared, yang sekarang ini ditertawa berdekah-dekah oleh malaikat/setan, untuk sebuah ketentuan.

Persembahan khas daripada Amerul Affendi (Seni Suri Jawi / Rumah Anak Teater) dan Auf Razak (artis residen Rumah Anak Teater).

Belian secara online di sini.

Untuk RSVP kehadiran serta maklumat lanjut, sila klik sini.

Kursus Jangka Pendek lakonan oleh RAT



- Untuk yang menyimpan hasrat untuk menjadi pelakon tetapi keliru cara-caranya
- Untuk mereka yang ingin menambah keyakinan diri di ahadapan khalayak ramai
- Untuk mereka yang mahu menambah keyakinan diri semasa proses temuduga
- Untuk mereka yang masih belajar dan ingin meningkatkan pencapaian dalam subjek lakonan
- Untuk mereka yang ingin mendapat pengalaman baru dalam kehidupan

Rumah Anak Teater (RAT) Production dengan bangganya akan mengadakan satu kursus jangka pendek lakonan untuk anda dibawah kendalian Ayam Fared dan di bawah pemantauan Nam Ron.

Maklumat tenaga pengajar Nam Ron:

* Nam Ron merupakan seorang pengarah, pelakon dan penulis untuk teater, tv dan filem
* Mempunyai pengalaman mengajar selama 9 tahun di ASWARA di Jabatan Teater dan kini mengajar sambilan di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang berkaitan
* Beliau banyak mengendalikan bengkel-bengkel lakonan dan pengarahan di seluruh Malaysia.
* Nam Ron juga pernah mengikuti kursus di Jepun dari tahun 2003 hingga 2005.
* Antara filem-filem lakonannya adalah Paloh, Gubra, Dukun, Histeria, Gadoh, Misteri Jalan Lama, Aku Tak Bodoh, The Year without Summer dan lain-lain.
* Antara drama tv lakonannya Warkah Terakhir, Dendam Kesuma, tersungkur di pintu syurga, Lembing dan Layang, Lima dan lain-lain
* Antara teater arahannya adalah Look back in anger, Lina dan Lijah, Proses, Misi, Gedebe, Jangan bunuh Sam, Matderihkolaperlih, Lembu, WIP dan lain-lain lagi


Berikut adalah butir-butir tentang kursus yang bakal dianjurkan oleh RAT Production:

* Kursus Jangka Pendek Lakonan oleh RAT Production
* Tenaga Pengajar: Ayam Fared + Nam Ron
* Tempoh: 8 Minggu (8 sessi, 2 jam setiap sessi)
* Jadual: Setiap Sabtu, jam 8.00 - 10.00pm
* Tarikh: bermula 2 Julai 2011
* Bayaran: RM 300
* Borang penyertaan: Boleh diperolehi dari link ini: http://bit.ly/clImRc
* Tempat: Studio RAT Production, No 56-2, Jalan 1/76 D, Desa Pandan, Kuala Lumpur
* Google Map Link: http://bit.ly/bUfjMv
* Untuk mendapatkan borang penyertaan dan maklumat Lanjut, hubungi; Faisal 017-2002944 atau email: rumahanakteater@gmail.com

Setiap pelajar yang menamatkan kursus ini dan berminat untuk menjadikan lakonan sebagai satu kerjaya, anda boleh memilih untuk bernaung di bawah RAT Production.