Wednesday, October 14, 2009

Dibaca Membaca



Lebih kurang 4 tahun lepas, waktu itu aku masih seorang anak muda yang penuh dengan cinta dan kemarahan yang masih keliru,masih mencari tempat untuk memuntahkan, bodoh (sekarang juga masih begitu sebenarnya). Saat itu aku di tahun satu semester dua diploma teater di ASK (kini ASWARA), sedang giat berlatih untuk pementasan projek akhir senior aku - Uda Dan Dara - dan aku sebagai Utih, ketika itulah Nam Ron pertama kali menegur aku. Mudah tapi penuh makna kata-kata darinya untuk perkenalan pertama; " kau ni lain sikit aku tengok berbanding kawan-kawan batch kau.. kenapa? apa yang kau marahkan? " Itu yang buat aku suka tentang dia. Dia punya mata seorang "director" yang bukan hanya digunakan terhadap pelakon-pelakonnya dalam penghasilan karya-karyanya tetapi juga terhadap segala yang berlaku dalam persekitaran rangka kehidupan masyarakat sekelilingnya.

Seronok rasanya bila sesekali "dibaca" setelah selalu "membaca". Begitulah juga pandangan aku terhadap karya-karya teaternya. Dia bagi aku bukanlah seorang penulis yang sibuk ingin bercerita tentang sesuatu persoalan yang besar-besar, yang kononnya gah, atau yang selalu disajikan di Istana Budaya atau Media Prima, tetapi dia lebih suka menyentuh persoalan-persoalan yang kelihatannya seakan kecil, tak diendahkan, yang dilupakan lalu dikorek-galinya sehingga impak yang diterima oleh kita penonton, adalah sesuatu yang sebenarnya menakutkan. Sesuatu yang tanpa kita sedari sebenarnya menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar terhadap sosio-politik masyarakat kita. Bagaimana Nam Ron melihat dan mengangkat sesuatu permasalan yang berlaku di dalam masyarakat kita ini dari sudut yang paling asas dan fundemental serta dekat dengan sosio-budaya masyarakat Malaysia itulah yang menjadi kekuatannya. Juga bagaimana dia tak pernah memberikan sebarang katarsis atau poetic justice terhadap setiap persoalan yang diangkat dalam setiap karyanya malah dia lebih selesa untuk meninggalkan tugas dan tanggungjawab itu kepada penonton atau masyarakat itu sendiri untuk menjustifikasinya. Ini kerana aku percaya yang dia percaya bahawa seni atau teater itu bukanlah ruang untuk memberi jawapan, tetapi medium yang kita gunakan dan isi segala persoalan atau permasalahan untuk dipaparkan pada masyarakat untuk sama-sama difikir-bincangkan.

Seks-gelap-darah yang dikatakan menjadi trademark untuk setiap karya pementasannya bagi aku bukan sengaja diada-adakannya untuk gaya atau style semata, tetapi aku percaya tanpa disedari atau memang disedarinya itulah interprestasinya terhadap elemen-elemen yang menyumbang kepada sebab-akibat, punca-tindakan serta pilihan-pilihan yang sering berlaku dalam putaran 'kehidupan' manusia.

Dia, yang bagi aku bukan hanya bekas pensyarah, tetapi juga seakan mentor dan member yang telah beberapa kali menjayakan projek bersama (bukan projek perumahan), juga merupakan seorang yang jujur percaya pada kuasa 'orang muda', yang bagi aku sifat ini tidak mudah serta jarang untuk kita jumpa dalam diri seniman-seniman yang sudah berusia serta punya 'nama'.

Dia selalu saja memberi galakan dan bantuan semampunya untuk pengkarya-pengkarya muda seperti aku dan teman-teman malah sering saja mencari ruang dan peluang untuk mengexposekan kami kepada khalayak pengkarya-pengkarya lain yang telah stabil dan mapan (mantap+tampan). Ini jelas sekali terbukti dengan tertubuhnya RAT yang diasaskannya bersama beberapa graduan ASK (kini ASWARA) yang keseluruhannya dianggotai oleh anak-anak muda (kecuali NAM RON, haha) yang objektifnya adalah sebagai ruang dan gang untuk penggiat-penggiat muda seni persembahan melontarkan idea-idea serta suara mereka terhadap masyarakat melalui medium seni persembahan.

Kelima-lima karya Nam Ron ini, hanyalah sebahagian daripada karya-karya hasil kerjanya. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dan perjalanan kerjanya, pasti juga tahu tentang hasil kerjanya yang lain seperti 'Dua bulatan pukul enam', 'Vertigo' dan 'W.I.P' (hanya menyebut sebahagian). Pembukuan lima hasil air tangannya ini bagi aku merupakan satu usaha yang baik kerana ini akan dapat memberi kesinambungan terhadap peranannya sendiri sebagai penggiat teater di Malaysia khususnya, dan terhadap pengembangan seni persembahan di Malaysia amnya. Ini kerana kita sedia maklum bahawa di Malaysia ini agak kurang karya-karya tempatan berupa skrip pentas yang dicompile dan dibukukan bukan kerana kurangnya penghasilan, tetapi kurangnya pendedahan dan kesedaran dari pihak yang bertanggungjawab.

Jadi harapnya dengan terhasilnya buku ini akan dapat digunapakaikan serta menjadi rujukan oleh generasi akan datang tidak kira dari kalangan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi seni persembahan mahupun penuntut jurusan undang-undang sehinggalah kepada jurutera kimia yang mahu mencuba-cuba menceburkan diri dalam kancah seni persembahan, sepertimana aku terkesima sewaktu menonton 'Dua bulatan pukul enam' dan sebagaimana aku teruja tatkala menjadi krew pentas untuk 'Laut lebih indah dari bulan'.

Fared Ayam

* tulisan di atas dipetik dalam ruang prakata buku 'Laut lebih Indah dari Bulan' tulisan Nam Ron.

No comments:

Post a Comment