Friday, February 3, 2012

KLIS12: Saliva Mathieu, Raja Filem Pendek



KUALA LUMPUR, 1 FEBUARI 2012 : KLIS12 (Kuala Lumpur International Short Film Festival 2012) merupakan festival filem pendek kali pertama diadakan di Malaysia. Terdapat empat kategori yang dipertandingkan; Animasi , Pelajar , Filem Pendek dan Tanggungjawab Sosial Korporat.

Saliva Mathieu, Pengarah yang berjaya memikat hati Datuk Bandar Kuala Lumpur sehingga melayakkan beliau untuk menerima Anugerah Khas Datuk Bandar melalui karyanya “Beneath The Surface” turut memenangi Anugerah Juri.

Dalam temuramah yang diadakan, Saliva berkata anugerah seperti ini harus diteruskan pada masa hadapan kerana ia membuka peluang pada pembikin filem sepertinya mengenali pembikin filem dari negara lain.
“Saya telah berkata pada diri saya sendiri bahawa saya perlu pulang dengan satu anugerah dan saya teramat gembira kerana saya berjaya membawa pulang dua anugerah penting iaitu dari Anugerah Khas Juri dan Anugerah Khas Datuk Bandar. Sememangnya saya tidak menyangka pertandingan terakhir untuk “Beneath The Surface” boleh menang besar seperti ini. Saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih pada rakyat India di Amerika kerana memberi inspirasi kepada saya untuk menyiapkan karya ini walaupun saya mempunyai banyak masalah kewangan sepanjang tempoh saya ingin siapkannya. Terima kasih Malaysia,Terima kasih Kuala Lumpur,” jelasnya dengan bangga.

Pemenang untuk Kategori Pelajar pula, Hammad Rizvi dari U.S.A telah berjaya membawa karyanya “Road to Peshawar” untuk mendapat tempat ketiga. Piyush Thakur dari India mendapat tempat kedua dengan karyanya “Khara Karodpati”.
Pengarah berbakat dari Taiwan Chun-Yi Hsieh telah mendapat tempat pertama sekali gus menerima Anugerah Khas Kuala Lumpur untuk karyanya “Bian Zi”. “Road to Peshawar” merupakan satu karya yang berani kerana ia menceritakan tentang Peperangan Soviet-Afghan pada tahun 1988. Seorang gadis Afghan yang cedera telah dibawa ke Pakistan oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan rapi. Perjalanan mereka terganggu apabila mereka melalui satu lombong. “Khara Karodpati” menampilkan kisah kehidupan Vishnu dan keluarga serta penduduk kampungnya di Maharashtra dan perjalanan mereka untuk mengenali dan mengerti maksud sebenar sebuah kemenangan.Panggilan untuk menyertai “Who Want to be a Millionaire” telah mengubah hidupnya serba sedikit. “Bian Zi” mengisahkan tentang lelaki yang tidak dapat menerima hakikat pemergian isterinya secara tiba-tiba, beliau bekerja untuk memastikan anaknya Ting gembira setiap masa.




Untuk kategori Filem Pendek pula di tempat ketiga Alexis Morante dari Spain selesa bersama filemnya “Matador on the road”, manakala “The Novel” dari Itali dan di arahkan oleh Paolo Licata berjaya ditempat kedua. Di tempat pertama Pengarah dari Ireland, Brian O’Malley berjaya membuka mata juri dengan filemnya “Crossing Salween.”

Kategori Tanggungjawab Sosial Korporat, “Hotel of the World” oleh Ayoub Luahabi dari Belgium mendapat tempat ketiga. “I Don’t need a Golf Course” dari Jepun pula mendapat tempat kedua diarah oleh Kazuhiko Mizushina. Manakala Malaysia pula berjaya mendapat tempat pertama dengan karyanya “Like Toy Dolls”. Yihwen Chen cuba menunjukkan perasaan bayi yang dibuang oleh si ibu yang terlanjur.
Tan Sri Ahmad Fuad bin Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dalam kenyataannya menyebut,” KLIS2012 telah menerima lebih dari seribu penyertaan dari 75 negara seluruh dunia. Saya berasa majlis bertaraf antarabangsa seperti ini patut mendapat sambutan meluas dan sokongan padu kerana ianya bukan hanya mempromosi filem di Malaysia saja malah secara terangan ianya menjadi antara produk pelancongan untuk negara kita.”

Pengarah Festival, Martias Mohd Ali pula berkata, “KLIS2012 telah menyediakan peluang untuk pengarah muda bertanding diperingkat antarabangsa dan pada waktu yang sam meningkatkan ilmu pengetahuan mereka juga kemahiran teknikal mereka.”
Beliau menyambung, “ KLIS telah diwujudkan untuk anak muda menunjukkan kemahiran,bakat dan kreativiti mereka secara minima dan mengambil kepakaran dan pengalaman pesaing dari negara lain. Saya percaya bahawa KLIS akan menjadi titik permulaan untuk anak muda kita berkerjasama bersama pengarah dari negara lain untuk menghasilkan sebuah filem bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.” Beliau juga berpendapat bahawa acara berspestij yang diadakan selama tiga hari ini akan memberi manfaat pada pengiat filem untuk mempromosikan filem pendek mereka sepanjang acara ini berlangsung.”

Dalam ucapannya juga, Martias memberitahu bahawa beliau yakin KLIS2012 akan menjadi satu penanda baru dan akan membuka mata industri Media kita untuk membuat lebih banyak Festival Filem Pendek yang mencabar pada masa akan datang.”



No comments:

Post a Comment