Wednesday, February 1, 2012

Teater SESUDAH SUBUH: Kisah Penganiayaan ke Tali Gantung

Sekarang penggiat-penggiat teater sudah berani mementaskan karya-karya yang tidak bertemakan cinta dan menyentuh hal-hal hak asasi manusia dan penganiayaan sesama manusia. Sedang berlangsung sekarang ialah pementasan teater SESUDAH SUBUH karya Seni Bayan dan diolah oleh Naqiu Ariffin di bawah penganjuran kumpulan teater yang menggelarkan diri mereka PENGGERAK TEATER (P.e.T.e.R).

Pementasan yang berlangsung sehingga 29 Januari 2012 di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur ini mengisahkan empat orang banduan wanita yang ditempatkan dalam sebuah sel akhir. Keempat-empat banduan ini menanti dikenakan hukuman gantung atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Seperti lazimnya, pelaksanaan hukuman mati dijalankan pada waktu sesudah subuh.

Bagi mengalih tekanan akan hukuman yang mereka akan jalani itu, Mona, Farah, Zura dan Selamat akan bermain satu permainan. Mereka dikehendaki merebut cawan tertentu yang disediakan selepas bersarapan dan mereka yang gagal akan dihukum dengan pelbagai bentuk hukuman.

Apa yang menarik tentang pementasan ini ialah keempat-empat mereka itu telah dianiaya semasa hidup mereka sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman mati. Ada yang menjadi mangsa rogol berkali-kali sehingga berjaya membunuh perogol berkenaan. Ada yang dihukum kerana membunuh sebab kekasih yang curang. Ada yang dianiaya kerana membawa dadah tanpa diketahui.

Selain daripada SESUDAH SUBUH, sebelum ini kumpulan produksi Rumah Anak Teater pernah mementaskan teater BANDUAN AKHIR DI SEL AKHIR pada Oktober 2010 yang berdasarkan kepada kisah benar yang berlaku ke atas seorang warganegara Malaysia, Yong Vui Kong di Singapura. Beliau juga dianiaya dengan disuruh membawa sejumlah dadah ke negara jiran dengan upah yang lumayan. Vui Kong sedang menunggu detik kematiannya. Pada tahun 2007, remaja lelaki yang berasal dari Sabah berusia 18 tahun yang datangnya dari sebuah keluarga yang berpecah - belah ini ditahan kerana memiliki 47 gram heroin dan dijatuhkan Hukuman Mati Mandatori. Sejak itu, Vui Fung, gadis Malaysia memulakan perjuangannya bagi membebaskan abangnya, Yong Vui Kong daripada tali gantung. Dalam jangka masa tiga tahun, gadis tersebut melalui pelbagai dugaan sewaktu berhadapan dengan pihak berkuasa bagi membebaskan abangnya. Sungguhpun demikian, bersama Ravi, seorang peguam hak asasi manusia di Singapura, kedua-dua mereka ‘percaya’ bahawa sesuatu boleh dilakukan bagi menyelamatkan nyawa Yong Vui Kong. Drama 50 minit ini menunjukkan waktu-waktu gelita Yong Vui Kong berhadapan dengan Hukuman Gantungnya.

Menurut pengarah Naqiu Ariffin, naskah ini menarik beliau untuk dipentaskan kerana Malaysia ialah salah satu negara di dunia yang masih mengamalkan hukuman mati mandatori sungguhpun banyak negara-negara lain telah memansuhkannya.

Di Malaysia, hukuman mati mandatori boleh dijatuhkan atas kesalahan cuba memulakan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong (Seksyen 121 Kanun Keseksaan), anggota tentera yang cuba bersubahat dengan musuh (Seksyen 132 Kanun Keseksaan), percubaan untuk membunuh diri (Seksyen 306 Kanun Keseksaan), percubaan untuk membunuh (Seksyen 307(c)Kanun keseksaan), menculik dengan bertujuan untuk membunuh (Seksyen 364 Kanun Keseksaan), menangkap orang lain dengan tujuan untuk tebusan (Seksyen 374A Kanun Keseksaan), rompakan berkumpulan sehingga berakhir dengan pembunuhan (Seksyen 396 Kanun Keseksaan), mengedar dadah (Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952)dan memiliki senjata api (Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960).

Berbeza dengan Banduan Akhir di Sel Akhir, Naqiu memberitahu bahawa tujuannya mementaskan naskah ini bukanlah berkempen agar hukuman mati yang diamalkan di Malaysia ini dimansuhkan. Ia hanya sebuah naskah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang tekanan yang dialami yang mungkin akan berakhir di tali gantung.

Pementasan ini dijayakan oleh Fatanah Amira, Amira Izzati, Suhana Othman, Nazliah Azman, Nor Azila, Akmal Ahmad dan Siti Nadzirah. Kesemua mereka merupakan pelajar semester akhir diploma di Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

No comments:

Post a Comment