Friday, August 21, 2009

RAT @AWANI

Monday, August 17, 2009

Gambar-gambar Teater Kompilasi Vol II

Noris Ali sebagai Nurul dan Amerul Affendi sebagai Razman dalam Naturalisasi.

Taiyuddin Bakar sebagai Cikgu Bahar dan Dira Abu Zahar sebagai Cikgu Zaharah dalam LEGASI.


Gambar-gambar teater Legasi dan Naturalisasi yang lain boleh diperolehi dari sini.

Semua foto kepunyaan Saharuddin Adnan. Tidak dibenarkan mengambil tanpa kebenaran.

Friday, August 14, 2009

Buku Kompilasi Skrip Vol 1 & 2


Buku Projek KoKEN: Kompilasi Skrip Vol I&II sudah berada di pasaran. Ia boleh didapati di luar pintu masuk Stor Teater DBP, Jalan Dewan Bahasa sepanjang pementasan Teater Kompilasi vol II sehingga 16 Ogos 2009.

Harga RM25-00.
Belian secara online: sms 0192232002. Tunggu arahan selanjutnya (melalui sms).

Pelancaran secara rasmi buku pada 15 Ogos 2009 di Stor Teater DBP.



Rumah Anak Teater (RAT) juga ada menjual dvd Teater Kompilasi Vol I.
Harga: RM15-00
Belian secara online: SMS 0192232002. Tunggu arahan selanjutnya (melalui sms).



Selain itu, RAT juga ada menjual DVD filem GADOH dengan ihsan KOMAS.
Harga: RM15-00

Wednesday, August 12, 2009

Seks, Perjuangan dan Kegagalan Jantan


Rahmat Haron telah membuat ulasan terhadap pementasan yang beliau hadir pada hari pertama.

Sila baca ulasan beliau di sini.

Borak-borak Dengan RAT - Zahiril Adzim


Akhirnya, aku sempat juga meluangkan masa dengan Zahiril Adzim. Ada orang kata dia 'hot'. Ada orang kata dia sudah berada di puncak kariernya; dengan memenangi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia-22 mingu lalu.

Walau apa pun, aku masih anggap dia sebagai rakan sekerja. Ada orang tanya aku; kau sekarang manager Zahril Adzim ke? Aku jawab; dia tak mampu bayar RM5000.

Ada yang minta nombor telefon dia, aku minta maaf sangat fasal aku diberi kepercayaan. Ada yang minta latar belakang dia (korek rahsia peribadi), aku kata; aku tak suka campur hal peribadi orang lain sepertimana aku tak suka orang lain campur hal peribadi aku.

Ikuti temubual aku dengan salah seorang pelakon utama Teater Kompilasi Vol2, Zahiril Adzim.


Hari tu kau pergi Cannes dengan siapa? Kau rasa glamour tak?

Hari tu aku pergi dengan Chris, Nandita, Yatsuhiro, Pierre (bukan Pierre Andre ya, ni Pierre betul punya mamat dari Perancis). Dan sepatutnya dengan Mislina. Tapi dia tak dapat pergi sebab kena tahan dekat KLIA. Nak wakil negara ni beb, tapi dihalang dengan orang negara sendiri jugak! Macam mana? Sapa nak jawab?

Glamour? Ada lah rasa sikit masa aku nak beli rokok sekaton dekat airport, duty free. Masa tu tertunjuk duit Euro Dollar. Lepas tu, gadis kaunter tu tanya nak pergi mana. Aku jawab, nak pergi Cannes! Nak bawak filem KITA (AKU, DIA DAN MALAYSIAN) bertanding sana! Nak wakil negara kita beb! Amacam, rokok sekaton ni boleh bagi free ke?

Dia cakap "Whatever". Ke-glamour-an aku dibunuh kat situ je.


Cakap pasal lakonan...... babak menangis tu airmata original ke pakai eye-mo?

Oh, kita tengah cakap pasal lakonan eh? Babak menangis tu, aku rasa diaorang Photoshop je kot. Sebab masa aku nangis masa tengggg... cis! Aku nangis betol!


Ada orang cakap kau jambu. Apa komen kau?

Dah makan tengahari? Aku boleh belanja.


Kau dah lakon banyak watak.... Kalau ada tawaran watak maknyah, kau terima tak?

Kalau bayar boleh beli sebiji banglo untuk RAT, aku ok je. Aku kan pelacur bakat. Wakaka!


Masa mula-mula kau mohon masuk ASWARA, apa response mak bapak kau?

Yuran berapa ringgit?


Dalam banyak-banyak drama yang kau berlakon, yang mana satu kau rasa gagal?

Semua drama aku gagal. Gagal apa? Aku gagal tackle heroin drama tu. Atau aku memang loser.


Pada pendapat kau, rakyat Malaysia rata-rata faham tak 1Malaysia tu apa?

Jangan cakap rakyat Malaysia. Aku sendiri pun tak paham 1Malaysia tu apa! Mungkin sebab aku banyak sangat baca gossip, tak pun cerita misteri kot.
Eh jap, one ke satu? Macam mana nak sebut ni?


Kenapa ada orang bantah Chin Peng pulang ke tanahair?

Pasal Chin Peng tak nak bawak balik ole - ole untuk diaorang. Tak pun sebab TANAH ni banyak sangat AIR kot. Entahlah.. salah baca buku sejarah kot. Ishh! Susahlah soalan ko ni Faisal.




Dalam teater kompilasi vol2 ni ada orang cakap kau buka baju. Betul ke?

Betul. Tapi aku bukak baju dekat backstage je. Masa nak pakai kostum. On stage tak boleh bukak baju sebab sejuk sangat.

Kau rasa teater vol 2 ni boleh tanding Tun Razak...The Musical tak?

Tak boleh, sebab penonton yang datang Teater Kompilasi Vol II ni tak pakai formal (baca: kot hitam)

Tuesday, August 11, 2009

Liputan AWANI



Kredit: Astro AWANI

Borak-borak dengan RAT - Yusman Mokhtar



Dalam sibuk-sibuk kami berhempas pulas dalam panggung Stor Teater DBP dan kerja-kerja harian aku, aku berkesempatan 'bermesra' dengan Pengarah Pencahayaan (sebut; Lighting Director) untuk Teater Kompilasi Vol 2.

Yusman Mokhtar (29 tahun) ialah seorang pemegang diploma ASWARA dalam Sinografi. Badan besar tapi penakut ni mengingat aku kepada John Little dalam cerita Robin Hood. kah kah kah.

Dia kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Malaya.

Ikuti temubual aku dengan beliau.


Sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam lighting, kenapa kau rasa peranan kau penting?

Penting. Sebab bebudak lain tak berapa reti nak buat lighting.


Kalau tak ada lighting takpe ke?

Boleh la gak. Tapi muka tak terang. Mood takda. So penting gak la lighting ni.


Lighting ni boleh buat orang nangis tak?

Bleh kot. Sebab dia tolong bagi mood lebih skit kat plakon dengan penonton ni.


Wah, tiket sold-out hari-hari. Ada apa-apa kau nak kata?

Syukurlah... ada gak duit nak wat makan. Tima kasih pada semua yang datang sokong show kita.


Kau rasa kenapa diorang suka tengok teater RAT ni? Apa kelainannya? Kenapa diorang tak pergi Istana Budaya aje?

RAT sempoi kot. Semua macam geng-geng dengan kawan-kawan. So rasa at home je. Tu agak nye ramai yang datang. Kalau kat IB nak kena formal skit. Takleh lepak-lepak sangat. Isu pun dengan approach pun lain. IB lagi commercial la.


Kau pernah buat lighting kat Istana Budaya. Canggih ke lighting system kat sana?

Tolong-tolong je. Bukan buat kat hall besar dia. Wat kat tempat kecik je. Okla lighting system kat sana.



Kau dah terlibat dengan kedua-dua teater kompilasi RAT. Kau rasa ada ada kemajuan tak?

Harap-harapnya ada la sikit-sikit. Takut wo kalau tak maju-maju langsung.


Siapa yang funding RAT ni? Camne diorang makan hari-hari?

Funding RAT ni semua main poket sendirik dengan bantuan dari poket Namron ngan Enchik Faisal Mustaffa (ehemmm)... so kengkadang tu bila semua orang busy pastu kerja banyak gila and semua takda duit sangat.... tak de la makan... time ada tu semua makan ramai-ramai... macam family la gitu.


Apa nasihat kepada mereka yang tak dapat masuk panggung sebab tiket penuh?

Sorry la. Maybe next time leh buat extended show kan (eheeem... Enchik FM). Kalau nak wat kat space lain yang lagi besar dia punya feel macam dah lain pasal tak intimate kan... so macam terpaksa la nak had kan jumlah orang yang boleh masuk. Nak sumbat ramai-ramai kang orang kata tamak pulak kan.... so sorry la sapa2 yang tak dapat nak masuk tu... beli la dvd Kompilasi Vol 1 buat pengubat rindu!

DVD Teater Kompilasi vol 1 dijual pada harga RM15 sahaja


Apa lagi keistimewaan RAT ni lain dengan kumpulan-kumpulan teater lain?

Aku tak nak cakap lebih-lebih. Nanti kalau aku cakap lebih-lebih kang orang kata bias pulak kan. Semua orang ada keistimewaan ngan kelemahan dia sendiri.


Nota penulis: Extended show? RAT kena bump-out 17hb kerana Stor Teater mahu digunakan oleh pejuang-pejuang seni yang lain.

Nota penulis: Gambar-gambar yang dimuatkan daripada koleksi Yusman sendiri atas kebenaran beliau.

Monday, August 10, 2009

Peringatan dan Persediaan Menjelang Teater

(Ikut pusingan jam dari atas kiri), K'N, RCong, Ameerul, Dira

Pengumuman:

Tiket pada esok, Selasa 11 Ogos 2009 sudah habis ditempah. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang ingin mengambil risiko, anda boleh juga datang dah berharap agar mereka yang tidak datang untuk mengambil tiket mereka boleh dijual kepada anda.

Begitu juga tayangan petang Ahad (16 Ogos 2009) dan Sabtu malam (15 Ogos 2009).

Peringatan kepada para tetamu:

1. Bawa baju sejuk. Khuatir anda akan ditempatkan di bawah penghawa dingin.
2. Teater ini akan berehat selama 15 minit sebelum pementasan kedua.
3. Surau di tingkat 6. Anda boleh datang awal dan kerjakan solat.
4. Matikan alat komunikasi anda. Bagi ahli politik dan peguam yang tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit sila letakkan 'silent mode'.
5. Anda boleh membuat rakaman gambar tetapi tidak dibenarkan menggunakan flash. Ia mungkin akan memberi kesan kepada pementasan ini. Lagi pun, pementasan ini banyak berharap kepada pencahayaan.
5. Tidak ada nombor kerusi. Free Seating. Tolong jangan rebut.
6. Pementasan ada surtitle berbahasa Inggeris. Kepada sesiapa yang tidak faham Melayu atau sekolah Inggeris, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah memahami teater ini.
7. Tidak dibenarkan makan / minum /hisap rokok di dalam panggung. Makanan ada disediakan di luar.
8. Tidak ada dress code. Asalkan anda selesa dengan cara berpakaian anda.
9. Jangan berbual di dalam panggung kerana suara anda boleh hilangkan konsentrasi orang lain.


CARA UNTUK KE STOR TEATER DBP

Kalau guna pengangkutan awam, turun di stesyen STAR Hang Tuah atau MONOREL Maharajalela. Anda juga boleh turun di stesyen MONOREL Imbi. Jalan mengikut arah menuju ke Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka yang tersergam.

Bagi mereka yang datang dengan motokar, (Indonesia bilang mobil; kita ada 9 tetamu dari Jakarta pada Selasa 11 Ogos), anda boleh parkir kenderaan anda di kawasan letak kereta bersebelahan Dewan Tun Syed Nasir, DBP atau pun Wisma Mirama di berhadapan DBP Bangunan lama. Tak perlu bayar.

Sekiranya penuh, anda boleh parkir di basement bangunan baru DBP. Kedua-duanya tidak menjadi tanggungjawab pihak penganjur sekiranya sebarang kecelakaan berlaku.

Selamat terhibur......

Friday, August 7, 2009

Projek KoKEN: Teater Kompilasi vol 2



Ucapan penghargaan kepada Ieja Zin yang bersengkang mata cuba menyumbang video ini.

Faisal: "Good attempt dude. Eh, you pun nak tukar carrier dari engineer ke video editor ke? Jangan jadi macam sorang tu; belajar law tapi berlakon teater."

Borak-borak RAT - MoizzisR.Cong




Tulisan asal dipetik dari sini.


Ramai yang mungkin tidak mengenali Mohd Izzuddin Ismail atau MoizzisR.cong (sebut R.cong) berusia 26 tahun dan berasal dari Gelugor, Pulau Pinang ini.

MoizzisR.cong akan mementaskan karyanya, LEGASI yang mula dipentaskan di Stor Teater DBP bermula 11-16 Ogos.

Ikuti temubual aku bersama beliau....

Macam mana kau dapat nama samaran kau ni?

Kawan sekolah aku yang bagi. Masa form 1 ex-girlfriend aku Cina, kawan aku kat hostel tu pula racist, tapi masa tu dia belum akhir baligh. Aku bersekolah di MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) sehingga tingkatan 4 dan kemudiannya menghabiskan SPM aku di Penang Free School (Aliran Sains tulen).


Aku kenal kau mula masa aku sedang belajar. Waktu tu kau dah mula beraktivisme melalui Food Not Bombs di Pulau Pinang. Apa motif peperangan kau?

Motifnya sudah semestinya untuk mendapatkan kemenengan dalam soal :

1. Menyatakan tentangan terhadap pembaziran berbilion ringgit wang negara sedangkan hak ASASI manusia di negara ini masih belum dipenuhi (makanan dan tempat tinggal), ketika aku membuat kajian terperinci untuk simpanan peribadi aku pada 25 Mei 2002, (bermula 12 malam - 6 pagi) terdapat seramai 185 orang homeless yang terbiar di sekitar George Town. Hanya di sekitar George Town pada waktu itu, bandar lain belum tahu. Sebagai seorang grunge, aku tak suka perkara itu terjadi. Ini tidak didorong oleh semangat lain!

2. Menolak pencabulan hak ke atas manusia seperti penahanan tanpa bicara dan lain-lain lagi secara nyata dengan mengadakan tindakan secara langsung. Kita menjadikan makanan sebagi simbol.

3. Menyatakan dengan tegas bahawasanya manusia itu sama terutamanya dalam soal pembahagian kekayaan negara dengan menolak kepercayaan bahawa kekayaan negara itu harus dipulangkan kepada mereka yang berkepentingan dengan alasan mereka yang berkepentingan lebih faham menguruskannya.

4. Menyatakan bahawasanya peperangan itu adalah kesan terbesar yang akan terjadi jika perkara-perkara asas manusia tidak dipedulikan, walaupun perkara ni diperkenalkan di Cambridge, aku yakin isu ketidakadilan ini relevan dengan tanah tumpah darah ku ini.

5. Dengan nyata, terang dan jelas melancarkan 'perang' terhadap peperangan. Aku rasa aku kena jawab soalan ni dalam forum ke meeting ke atau discussion lah sebab banyak lagi yang nak dinyatakan.


Kau ni anti kerajaan ke? Kenapa?


Tidak. Aku hanya anti parti atau individu yang menggunakan kedudukannya sebagai pemerintah untuk mengaut kekayaan negara seperti ekonomi, perundangan, media tanpa mengagihkannya secara adil dan penafian hak sekiranya hak itu diperlukan.

Kau anjur gig seluruh Malaysia ni sejak bila? Sekarang ni dah ramai orang minat gig. Kau rasa ini semua datang dari usaha kau tak?


Tidak tepat jika mengatakan aku menganjurkan gig di seluruh Malaysia. Aku kerap membuat gig di Penang, di utara Malaysia dan Kuala Lumpur. Sekali di Kuantan, J.B dan beberapa kali di Shah Alam.

Aktiviti penganjuran gig aku ini bermula ketika aku berusia 18 tahun pada 2001 dan semuanya bermula dengan jamming session. Antaranya ialah gig benefit untuk homeless 2002 dan 2003, World Press Freedom Festival 2004,Musick 2005. Ada beberapa lagi yang aku tak ingat...

Tak....aku tak merasakan semua tu atas usaha aku. Sebelum tu pun dah ramai yang minat gig, bezanya dulu gig ni dianggap aktiviti tak bermoral, tak mendatangkan apa-apa hasil (faedah) dan 'tak ada klass' jika dibandingkan dengan persembahan muzik arus perdana. Aku rasa orang sekarang ramai minat gig kerana media sudah 'mesra' gig. Dah banyak pendedahan kepada umum. Persepsi dah berbeza. Masyarakat dah terima gig. Orang akan benci gig pun kerana media. Begitulah besarnya pengaruh media dalam kehidupan kita.





Setakat ni berapa banyak skrip dah kau tulis? Tapi kau masih tak terkenal. Kenapa ye?


Tak lah banyak, adalah... antaranya Session To The Womb, Aggregate, penulis bersama GADOH, Meraung dibaling - Baling, The Big Repentant.... ada beberapa lagi tapi aku tak ingatlah, yang terbaru aku tengah menulis Commotion....

Terkenal ni soal pendedahan kepada umum, itu sahaja. Tak percaya, sebagai analisa, cuba hang tanya berapa orang yang kenal M. Amin berbanding berapa orang yang kenal P.Ramlee? Sapa yang kenal Abro Rivai, sapa yang tak kenal Ahmad Idham? Siapa yang pernah tengok persembahan Sil Khannaz di tv, siapa yang tak pernah tengok persembahan Anuar Zain di tv? Berapa kali kita dengaq lagu Joe Kidd dalam radio? Berapa kali kita dengaq lagu Edrie Hashim dalam radio? Berapa ramai yang tau Independent Film Fest, siapa yang tak tau FFM? Kenapa umum begitu mengenali Siti Nurhaliza dan Ziana Zain sehingga ke soal peribadi? Kenapa umum kurang mengetahui tentang karya Fahmi Redza atau Rahmat Haron? Semuanya bersebabkan? (gelak)


Banyak-banyak buku yang kau pernah baca, belek; buku apa yang begitu menjadi kau teruja?

'Oliver Twist' - Charles Dickens, 'Anak Mat Lela Gila' - Pak Sako, 'Hard-Boiled Wonderland and The End Of The World" - Haruki Murakami. " Veronika Decides To Die" - Paulo Coelho.


Legasi dalam Teater Kompilasi vol 2 ni berlatarbelakangkan tahun 40an. Kau belum lahir lagi kan? Apa rujukan kau? Tak bosan ke era tu?


Mak aku pun belum lahir lagi. Rujukkan untuk lakon pentas tu - Social Roots of the Malay Left - Rustam A. Sani, The Chronicles of Malaysia - Buku kelabu tebal yang selalu ada dekat mana-mana kedai buku tu, internet. Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya - Hishamuddin Rais dan Opah aku. Opah aku adalah bekas guru graduan SITC 1940an, yang pasti cerita ni bukan berkenaan dengan Opah aku lah, apa benda kalau nak ceritakan tentang family kat orang... pecah ! .... bosan? Kita merasakan era itu bosan kerana pada pandangan kita, kita adalah lebih maju dari mereka yang hidup pada sesuatu era yang terdahulu dari kita tanpa kita cuba mengetahui pengisian kehidupan mereka.

Jangan risau, tahun awal millenium ini juga akan dianggap bosan oleh kebanyakan generasi muda 2060 sekiranya mereka malas untuk mengetahui apa yang terjadi sekarang atau sejarah mereka ditutup dengan cerita lain. (gelak lagi)


Kau ada bercadang tak nak bikin teater Hang Tuah ke, Malim Deman ke, Hang Li Po ke...macam teater purba ASWARA?

Tak, tapi aku sangat terkesima,teruja dan teransang dengan sastera atau sejarah Melayu/ Malaysia. Sebenarnya aku dah pun siap 'rangka' cerita berkenaan dengan Raja Bersiong yang bertolak dari persepsi anak muda dalam bentuk penulisan lakon layar. Harap bila siap dapat difilemkan...(gelak). Kalau boleh pengarahnya Nasir Jani. Kalau bolehlah....


Kau pernah pegang watak penting dalam teater Bilik Sulit. Watak kau menunjukkan cara special branch interrogate tertuduh. Apa formula kau hafal skrip?

Faham jalan cerita, berlatih, enjoy dan melawak dengan Pengarah Bilik Sulit.


Ketuanan Melayu tu apa sebenarnya? Kenapa orang cina tak ada Ketuanan Cina dan orang India tak ada Ketuanan India?


Ketuanan Melayu = Penghambaan Melayu secara total, maknanya hamba- hamba ini perlu ditakutkan, kalau tidak, hamba-hamba ini akan 'mentransmitkan gelombang revolusi! itu sahaja, jelas. Sebab mereka yang merasakan mereka ini 'tuan-tuan kepada hamba-hamba Melayu ini' tidak lagi berjaya meyakinkan Melayu dengan hujah yang rasional selain dengan cara menakutkan Melayu untuk mengekalkan kuasa politik yang mengawal ekonomi.

Orang Cina dan India menolak ketuanan Cina dan India kerana orang Cina dan India sedar soal 'ketuanan' ini tidak akan membantu mereka ketika 'Kapitalis' Cina atau India mencabul hak mereka mereka sendiri kerana 'ketuanan Cina dan India' itu mempunyai taste yang sama dengan 'kapitalis Cina dan India'. Dalam masa yang sama mereka yang merasakan yang mereka ini 'tuan-tuan kepada Melayu' ini juga takut sekiranya hamba-hamba Melayu ini sedar bahawasanya hamba-hamba Melayu ini juga sebenarnya adalah TUAN, kerana 'tuan-tuan Melayu ini telah banyak menjahanamkan Melayu. Kalau hamba-hamba Melayu ini sedar, 'tuan-tuan Melayu' juga akan takut kerana mereka tidak akan lagi dapat bersenang-lenang memunggah kekayaan negara sebalik terpaksa berkerja sama seperti hamba-hamba ini. Sakit bagi mereka yang merasakan mereka ini 'tuan-tuan kepada Hamba-hamba Melayu' selama ini. Firaun tidak akan kekal sebagai Firaun sekiranya Firaun tidak mengaplikasikan Ketuanan Firaun.


Aku rasa arwah Yasmin Ahmad akan dapat pingat lepas ni. Kenapa ye orang artis ni selalu dapat penghargaan lepas dia meninggal. Masa hidup kena kutuk habis-habisan?

Anyway, Al Fatihah untuk arwah Yasmin Ahmad. Kena kutuk semasa hidup atau mati tak penting. YANG PENTING, kita kena tahu siapa yang kutuk. Kerana kutukan ini selalunya datang bersama pengharapan. Ianya bukan kosong. Jadi kita kena tahu latar belakang dan orentasi pengutuk. Ini adalah kerana ada kutukan yang dilontarkan itu jujur, dengki, bodoh, bijak, sopan dan ada pengutuk yang berlagak pandai untuk mengutuk dengan tujuan menutup kelemahan sendiri. kalau ini dapat difahami, tidak ada masalah. Jangan risau, dalam konteks filem, drama atau teater, seseorang 'artis' (penggiat seni termasuk sinografer atau pemegang boom) itu adalah pencorak kepada pemikiran masyarakat secara tidak langsung (sedar atau tidak ianya benar) kerana ianya akan ditonton oleh masyarakat, 'artis itu pemberi, masyarakat itu penerima'.

Jadi kalau seseorang artis itu melakukan sesuatu hasil kerja, sudah pasti ianya akan mengundang tindak balas. Contohnya kita sebagai konsumer juga akan memberikan tidak balas selepas makan di sesebuah restoran. Maknanya seseorang artis itu mesti bertanggungjawab dengan hasilnya dan bersedia untuk menghadapi tindak balas, bukan merasakan bahawasanya setiap yang dipersembahkan itu diraikan oleh semua penonton walaupun semua penonton menonton produknya. Rating yang tinggi dan kehadiran yang ramai bukan bererti persetujuan yang mutlak kepada sesuatu karya itu. Kalau perkara yang semudah ini tidak dapat difahami oleh seseorang artis, maka seseorang artis itu bukan artis tapi selebriti. Artis dan selebriti adalah berbeza. Ini dapat dibezakan dengan jelas. Ini boleh dibincangkan dalam ruangan yang lain nanti.

Dalam soal ini, sekiranya sesuatu hasil seni itu mengundang tindak balas yang pelbagai maka ianya sesuatu yang karya yang berkesan, kerana ianya telah menggalakkan perayaan idea. Apabila seseorang artis itu mati, masyarakat akan diselubungi perasaan sedih kerana sudah kehilangannya. Begitu juga dengan semua orang cuma tidak semua orang mati diberikan liputan kematian. Maknanya si mati sudah tidak berupaya melontarkan idea lagi. Jadi penghargaan yang diberikan itu merupakan 'kenangan' kepada jasanya. Penghargaan yang diberikan itu adalah sebagai 'terima kasih' kepada si mati atau penghargaan itu juga mungkin sebagai tanda meminta maaf ataupun memaafkan kesalahan si mati. ok lah tu. Tapi sayangnya... penghargaan (terima kasih) itu diberikan semata-mata seperti kita tanpa cuba menyelongkar apakah fikrah yang didukung oleh seseorang artis itu semasa hayatnya. Ianya sama seperti mengucapkan 'terima kasih cikgu' selepas kelas setiap kali tamat kelas berulang kali dari darjah satu sampai habis sekolah tanpa cuba faham apa yang diajarkan oleh cikgu tadi. Sesungguhnya ini sangat merugikan kerana enecdote bukanlah sesuatu yang berkembang sifatnya, tapi pemikiran si mati akan terus hidup selagi pemikiran si hidup belum mati. Pemikiran artis mati yang hidup sebenarnya dapat dijadikan rujukkan untuk menghasil karya yang lebih baik pada masa akan datang, setidak-tidaknya sebagai bekalan. Penghargaan tanpa menghargai umpama doa tanpa usaha. Doa tanpa usaha... Apa macam? Boleh gerak ke kawan?


Apa nasihat kau kepada orang-orang yang nak datang tengok teater Kompilasi vol 2 ni?


Tak ada apa-apa nasihat. Aku cuma berharap semua yang nak mai nanti akan 'sihat' dalam makna yang luas. Semoga apa yang aku persembahkan nanti tidak menghampakan yang hadir kerana ianya adalah persembahan yang berbayar. Selamat. Terima Kasih. Salam....

Thursday, August 6, 2009

Promo KoKEN: Teater Kompilasi Vol 2

Borak-borak Dengan RAT - Fared Ayam



Susah betul aku nak dapatkan temuduga dengan lelaki berambut ikal mayang dengan tali mengikat lengang kanan dan kepalanya. Aku memang nak tanya, fashion apa ni? Tapi malas. Itu identiti dan KEHIDUPAN dia.

Aku mula kenal dia pun di Seksyen 14 PJ pun dah memang macam ni. So buat apa u-turn?

Ikuti borak aku dengan Fared Ayam. Beliau juga pernah dicalonkan sebagai Most Promising Artist di BOH Cameronian Arts Award untuk tahun 2008.


Faisal Mustaffa: Cuba kau ceritakan maksud Naturalisasi dan ceritanya.

Nak tau maksud Naturalisasi sila beli kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi kedua.. Nak tau cerita, sila datang tonton pementasannya.. abis cerita..


Dalam realiti, kau rasa perkara macam ni berlaku tak? Atau hanyalah khayalan dan mimpi-mimpi kau?

Aku tengok dalam rancangan realiti tv tu tak real pun..Tapi ia juga bukan mimpi.. abis apa benda tu?



Aku nampak ada kesamaan cerita kau dengan teater Air-Con (yang pernah dipentaskan sebanyak dua kali di KLPAC). Pelakon-pelakonnya sama; Zahiril Adzim dan Amerul Affendi. Kau plagiat ke?

Aiceh..sukahati je..sama celah mana? Bapak takde kena mengena..Premisnya tak sama..Persoalannya juga jauh berbeza..Jangan hukum sebelum bicara brader..Lu pun nak jadi macam abang rambut ketak melodi ke apa..



Skrip kau ni akan dibukukan dan dijual di kedai-kedai buku. Kau rasa mak bapak kau akan bangga dengan kejayaan kau ni?





Mak bapak aku adalah penduduk Felda yang hidup dalam kelompok masyarakat yang majoritinya dididik, disogok dan mati-mati percaya bahawa hanya dengan sains dan teknologi sahajalah anak-anak mereka akan terjamin masa depannya.. Jadi kau rasa macam mana?


Ada orang nak tahu, budak-budak RAT ni selalu lepak kat mana. Apa jawapan kau?

Lepak mamak..


Kau pernah menangis tak? Bila keadaan yang boleh membuatkan kau menangis?

Eerrr.. eh, lepas ni kau nak lepak mana?


Kau seronok tak bila pergi Istana Budaya tengok teater?

Seronok sampai rasa nak berlari sambil bogel..


Kau bangga tak bila budak-budak ASWARA menjayakan Teater Muzikal...Tun Razak? Kenapa?

Bangga.. sebab aku bukan salah seorang dari mereka..


Orang kata skim cepat kaya tu membohong. Tapi diorang pandu kereta mewah. Apa sebenarnya ni?

Berbohong adalah salah satu cara untuk hidup mewah..


Lepas Teater vol 2 ni selesai, apa projek KoKEN selepas ini?

Bump out barang-barang Teater vol 2 dari Stor Teater DBP..

Wednesday, August 5, 2009

Teater Kompilasi Video Promo



Kiri: Fared Ayam (Pengarah NATURALISASI)
Kanan: Zahiril Adzim (pelakon NATURALISASI)

Tuesday, August 4, 2009

RAT Turut Tuntut Mansuh ISA

Rumah Anak Teater (RAT) turut menyatakan bantahan mereka bersama ribuan rakyat Malaysia di Kuala Lumpur 1 Ogs lalu di bandaraya semasa Perhimpunan Mansuhkan ISA anjuran Gerakan Mansuh ISA(GMI).

Mereka berarak dari Kompleks Pertama sehingga ke Raja Laut sambil memegang kain rentang persembahan yang bakal mereka pentaskan, Teater Kompilasi vol 2 di Stor Teater DBP, 11-16 Ogos 2009.

Mereka juga turut disimbahi pancutan air berasid dan disembur gas pemedih maa ketika berarak.

Orang ramai yang melihat gelagat mereka ini tidak menyangka bahawa kumpulan artis juga turut memiliki pemikiran politik dan mahu menyumbang di dalam Malaysia yang lebih bebas dari undang-undang zalim.

Sungguhpun pementasan mereka ini tidak berkaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi mereka berbicara mengenai perjuangan dan persepsi anak muda mengenai perjuangan ke arah kemerdekaan.

Lokasi: Kompleks Pertama


Lokasi: Jalan Raja Laut

Monday, August 3, 2009

Kenyataan Media RAT: TEATER KOMPILASI VOL 2

Teater Kompilasi Vol 2 merupakan projek kedua yang diusahakan kumpulan Rumah Anak Teater (RAT) melalui Projek Komuniti Kental (KoKen).

Dua orang pengarah akan mementaskan dua buah cerita di dalam satu pementasan. Dua cerita dari tiga zaman yang berbeza menjadi tagline bagi Teater Kompilasi Vol 2. Walaupun secara asalnya dua cerita berbeza tetapi teater kompilasi vol 2 akan menjadi satu cerita kerana kedua-dua cerita berlaku di dalam rumah yang sama. Rumah yang tersergam selama 60 dekad merakam pelbagai peristiwa di dalamnya. Hanya dua akan dipentaskan iaitu Naturalisasi dan Legasi.

Projek “Teater Bertemakan Kemanusiaan” ini memaparkan dua pementasan di dalam satu; Naturalisasi karya Nam Ron & Fared Ayam dan Legasi karya Moizzis.RCong

Naturalisasi

Mengisahkan tentang watak Razman, seorang peguam kepada seorang ahli perniagaan yang ternama dan teman baiknya Rahmat, seorang penulis bebas. Suatu malam Razman termenung sendirian di dalam gelap. Kegelisahannya berpunca dari kes perbicaraan membabitkan ahli perniagaan tersebut siang tadi. Rahmat, yang juga merupakan teman serumah Razman yang baru pulang dapat mengesan perubahan Razman. Mereka berbincang tentang hal tersebut, kemesraan tetap ada walau kadangkala keadaan menjadi agak tegang. Nurul kekasih Razman sampai dengan keadaan marah dan runsing. Setelah dipujuk oleh Razman barulah dia tenang. Darinya diketahui bahawa Nurul mengandungkan anak Razman. Mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Malam itu Nurul tidur di situ, Rahmat marah dengan tindakan Razman. Mereka bertengkar. Pagi besoknya, Rahmat cuba menghasut Nurul dengan membuat satu helah, tujuannya untuk memisahkan hubungan Nurul dengan Razman. Setelah Rahmat keluar, Razman sekali lagi bertengkar dengan Nurul dan akhirnya Razman terperangkap dengan helah yang dicipta Nurul dan mengaku bahawa dirinya adalah lelaki gay. Nurul terkejut lalu mahu memutuskan hubungan dengan Razman. Tengah hari, Rahmat pulang membawa berita bahawa dia menghidap HIV positif.

Konsep Pementasan

Sepertimana teks ini yang alirannya adalah realisme, sebegitu juga pementasan ini bakal dipentaskan. Daripada gaya lakonannya, isunya hinggalah gaya bahasanya semuanya adalah realistik. Cuma pementasannya nanti akan menggunakan struktur perjalanan cerita atau plotnya yang tidak linear. Ini kerana dalam pementasan itu nanti akan terdapat bahagian-bahagian yang saya olah menjadi monolog yang akan menunjukkan bahawa watak itu sedang menceritakan perkara yang telah berlaku dan bahagian-bahagian yang tidak saya olahkan menjadi monolog mewakili situasi dimana keadaan yang telah berlaku dan merupakan visual kepada imbasan watak yang sedang termenung dan mengenang perkara semalam.

Pementasan ini akan bermula dengan visual yang akan berlaku di akhir pementasan dan perjalanan plotnya akan sering bertukar-tukar dengan masa sekarang dan semalam. Sehingga akhirnya akan sampai pada situasi yang visualnya telah ditunjukkan pada awal cerita. Selain itu permainan lampunya juga tidak sepenuhnya realistik kerana terdapat situasi dimana permainan lampu lebih mementingkan mood cerita dan cuba membantu memaparkan atau menyuarakan konflik serta pergolakan jiwa watak ketika itu.

Kekaguman

Kekaguman dalam pementasan ini adalah bagaimana perjalanan cerita ini yang menggunakan konflik kekacauan jiwa dua orang lelaki yang terjebak dalam cinta sejenis dan kehadiran seorang perempuan dalam hidup salah seorang watak itu untuk mengupas serta memberi perlambangan kepada kekotoran yang berlaku dalam dunia politik itu sendiri. Bagaimana penulis menjadikan hubungan cinta sejenis dan penyakit HIV itu sebagai premis untuk melambangkan kepada watak manusia yang tidak dapat lari lagi atau berpatah balik setelah sekali terjebak dalam dunia yang korup. Suka atau tidak, terpaksa atau sengaja, mereka tetap harus menghadapinya. Yang menentukannya hanyalah sama ada mereka kuat atau lemah, menang atau kalah. Konflik-konflik yang seolah-olah tiada peleraiannya inilah menjadi unsur kekaguman selain permainan lampu yang banyak menggunakan visual yang lembut serta banyak bermain dengan silhouette dan shadows untuk menimbulkan mood yang agak sentimental bersesuaian dengan konflik jiwa yang sedang dihadapi oleh watak-watak serta perjalanan ceritanya yang memang agak moody.

Teater ini dilakonkan oleh Zahiril Adzim (Rahmat), Amerul Affendi (Razman) dan Noris Ali (Nurul).



Legasi

Legasi sebuah cereka yang mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang saling mencintai di antara satu sama lain sepenuhnya akan tetapi mempunyai sisi persepsi paksi politik yang berbeza. Ia berlatar belakangkan kepada budaya politik Malaya 1940an. Cikgu Bakar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah elitus Melayu lepasan Sultan Idris Teachers College yang menyokong dan bersama menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Apabila KMM mulai lemah (1945), ramai pemimpin utama kesatuan itu mengambil pendirian untuk meninggalkan KMM, termasuklah Cikgu Zaharah, namun ianya tidak melibatkan Cikgu Bakar. Hal ini adalah kerana Cikgu Bakar tetap terus berpaksi kepada perjuangan KMM. Konflik persepsi politik ini terus menyelubungi kehidupan Cikgu Bakar dan Cikgu Zaharah. 50 tahun kemudian, di hari-hari terakhir Cikgu Bakar, dia sempat berjumpa dengan cucu perempuannya yang merupakan seorang liberal anthropologist, Suhaila. Bersama Suhaila, Cikgu Bakar merungkai pengalaman, pandangan, kepercayaan politiknya. Adakah Suhaila akan meneruskan “LEGASI” yang di bangunkan oleh Cikgu Bakar.

Latar Belakang Penceritaan

1940 an meninggalkan ‘ legasi’ nya yang tersendiri kepada Malaysia ( Malaya ). Waktu ini Malaysia segar membangun dari segi ideologi, percaturan politik dan semangat untuk tuntutan kemerdekaannya. Sepasang suami isteri, Cikgu Bahar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah dua orang guru lepasan SITC, hidup dalam kasih sayang yang sepenuhnya. Namun, pasangan elitis Melayu ini berhadapan dengan masalah orentasi perjuangan mereka sehingga merobek kasih sayang mereka. apakah kasih sayang yang disemai di antara mereka mampu mempertahankan percintaan mereka. menjelang akhir 1980 an, Cikgu Bahar bertemu dengan cucu perempuannya, Suhaila, seorang antropologis liberal. Di suatu ruang masa mereka berdua merungkai ‘legasi’ percintaan dalam perjuangan ini. Adakah ‘legasi’ klasik ini masih berupaya bernafas di zaman peradaban moden ini.

Teater ini dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar (Cikgu Bahar), Dira Abu Zahar (Cikgu Zaharah), K’N (Cikgu Effendi) dan Nur Ameera (Suhaila).

Teater Kompilasi Vol2 akan dipentaskan di Stor Teater DBP, 11-16 Ogos sebanyak lapan pementasan; 8.30 malam dan 3 petang (15 & 16 Ogos).
Masuk atas sumbangan minima RM20.




Latarbelakang RAT

Rumah Anak Teater atau nama singkatannya RAT ditubuhkan secara tidak rasmi pada Oktober 2008. Ianya diasaskan oleh Nam Ron bersama beberapa anak muda graduan ASWARA. RAT adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan. Penubuhan RAT pada asasnya adalah bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja seni persembahan diteruskan oleh anak-anak muda melalui bengkel, diskusi dan persembahan. Bagi memastikan usaha-usaha ini bergerak, RAT telah melaksanakan suatu rancangan jangka panjang yang dinamakan Projek Komuniti Kental atau singkatannya Projek KoKen. Projek Komuniti Kental (KoKen) adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan penggiat muda seni persembahan yang menganggotai Rumah Anak Teater (RAT). Projek ini adalah sebagai satu landasan atau tapak bagi mereka berkongsi idea dan pemikiran dalam kerja-kerja seni persembahan dengan ahli masyarakat.

RAT memberi satu ruang untuk berkumpul, berkongsi, berkolaborasi dan melaksanakan kerja- kerja seni dalam bentuk produksi dan pengembangan serta penggalakan seni di Malaysia.

Sebarang tempahan dan pertanyaan, boleh dilayari dari http://rumahanakteater.blogspot.com/ atau hubungi Faisal Mustaffa 019-2232002 atau faisal.mustaffa@gmail.com


Tenaga Produksi

Pengarah Artistik/ Penerbit

NAM RON

NAM RON atau nama sebenarnya Shamili Abdan (39 tahun) merupakan seorang pengarah, penulis, pelakon teater, tv dan filem. Di arena teater beliau mula terlibat dengan aktiviti ini bermula dari tahun 1989. Pada tahun 2000, selepas tamat pengajian di Akademi Seni Kebangsaan beliau menubuhkan Alternative Stage dan menjadi pengarah artistik hingga kini. Selain dari pengiat seni beliau juga turut menyumbang tenaga sebagai pensyarah sambilan di Jabatan Teater, ASWARA. Beberapa karyanya telah tercalon ke peringkat akhir di Anugerah Seni Cameronian sebagai pengarah, pelakon dan penulis antaranya adalah Lembu, Matderihkolaperlih, Laut lebih Indah dari Bulan dan VV(WIP). Pada tahun 2003 Matderihkolaperlih memenangi ketegori skrip bahasa melayu terbaik pada anugerah tersebut. Pencapaian beliau yang lain adalah apabila menerima anugerah graduan cermerlang bagi ketegori teater oleh ASWARA pada tahun 2007. Nam Ron juga adalah salah seorang ahli dalam pertubuhan Lohan Journey, sebuah pertubuhan teater antarabangsa yang bertapak di Tokyo.



FARED AYAM

FARED AYAM atau nama sebenarnya Mohd Fared Jamaluddin (24 tahun) adalah teruna berdarah kacukan serta berambut ikal mayang yang sentiasa penuh dengan cinta dan kemarahan dan pernah berkali kali gagal dalam percintaan. Juga sering tertanya tanya tentang siapa dia di mata masyarakatnya lalu menjadikan teater, puisi dan segala macam cabang seni sebagai laman luahan ketidakpuashatian. Antara pementasan hasil pengarahan dan lakonannya termasuk kolaborasi teater eksperimen TANDA, WAKTU eksperimental merdeka, NATURALISASI, SHORT EYES, BREAKING /JI PO/ KASI-PE-CAH (Kuala Lumpur, Jepun, Singapura), INSTANT CAFE KURANG MANIS, UDA dan DARA serta ProjekKoken:TEATER KOMPILASI VOL 1. Beliau juga telah dicalonkan sebagai Most Promising Artist di BOH Cameronian Arts Award untuk tahun 2008.

Juga merupakan penulis bersama Zahiril Adzim untuk ruangan Living Culture di website www.thenutgraph.com.

MOIZZISR.CONG

MOIZZISR.CONG atau nama sebenarnya Mohd Izzuddin Ismail merupakan graduan Penulisan Kreatif ASWARA 2009. Beliau kini seorang penulis sepenuh masa. Beliau pernah melibatkan diri sebagai penulis bersama untuk pementasan ‘ Waktu - 50 tahun Merdeka’, penulis bersama untuk telemovie ‘ GADOH ’, penulis asal skrip untuk Muzikal Tun Abdul Razak untuk Istana Budaya arahan Dato’ Rahim Razali ( Ogos 2009).

ZAHIRIL ADZIM

ZAHIRIL ADZIM merupakan graduan dari ASWARA (Diploma Teater). Pengarahan beliau sebelum ini ialah kolaborasi Teater Eksperimen TANDA dan FATIHAH. Antara lakonan pentas beliau ialah AIRCON, INSTANT CAFE KURANG MANIS, PENTAS OPERA, UDA dan DARA, NATURALISASI, SI YATIM CHAO, GEMA MERDEKA dan banyak lagi. Selain itu, beliau juga bergiat dengan lakonan filem dan TV. Filem lakonan beliau ialah GADOH, KAMI The Movie dan KARAOKE, sementara lakonan TV pula ialah Merah Puteh, Ghost 2, KAMI The Series, Waris, 100 Harijadi, ABAM dan Seandainya Aku Siti.

Dengan bantuan FINAS, beliau telah dihantar ke Festival Filem Cannes, Perancis, untuk menghadiri tayangan filem KARAOKE dan juga pencalonan Camera d'Or (Golden Camera). Beliau juga pernah tercalon sebagai 'Most Promising Artist' - Boh Cameronian Awards, KLUE Blue Chili Awards dan juga Best On Screen Chemistry - 8TV Shout Awards bagi filem KAMI The Movie.

Zahiril Adzim
juga seorang penulis bersama Fared Ayam untuk ruangan Living Culture di laman web www.thenutgraph.com

SALLEHUDDIN ABU BAKAR

SALLEHUDDIN ABU BAKAR @ Taiyuddin Bakar (26) seorang artis independen yang terlibat dalam banyak aktiviti seni termasuk filem, teater, siri tv dan filem pendek.

Terlibat sejak 2002, Taiyuddin sudah berlakon sebanyak 28 teater, 5 filem dan 25 siri tv dan filem pendek. Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam menyumbang suara dalam beberapa suara latar dalam kempen dan pengiklanan.

Antara teater yang pernah dilakonkan oleh Tai ialah Tun Abdul Razak The Musical (2008), Jebat Menderhaka (2007), Mak Yong (2004) dan Perempuan Seorang Lt Inggeris (2002). Selain Legasi di dalam Teater Kompilasi vol 2, pada tahun 2009 juga terlibat dalam teater Gelanggang dan Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Melalui filem, beliau pernah berlakon di dalam filem Libas (2009), Lu Pikirlah Sendiri de Movie (2008), Punggok Rindukan Bulan (2008), 1957 Hati Malaya (2007) dan Mokhsin (2006).

Tai terlibat dalam lakonan siri tv sejak 2003. Antaranya ialah Sayangnya Khalid (2003), Daerah Permai (2004), Anjakan (2005), Selamat Hari jadi Abah (2006), Anak Pontianak (2007), Misteri Penarik Becha (2008) dan Aca da Atuk (2009).

Taiyuddin yang juga seorang pengarah tujuh (7) pementasan teater pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam Festival Teater Kuala Lumpur (2005) melalui pementasan Anak Bulan di Kg Wa’ Hassan.

Di dalam Legasi, Tai akan melakonkan watak Cikgu Bahar.

NORIS ALI

NORIS ALI atau nama sebenarnya Norisnainy binti Ali (29) ialah pelakon sepenuh masa dalam banyak telemovie, filem, sitcom. Teater Kompilasi Vol 2 ini merupakan penceburannya pertama kali bagi menimba pengalaman.

Antara filem yang pernah dibintangi ialah Histeria dan Remp-It. Telemovie yang pernah dibintanginya ialah Papan (Astro Ria), Loghat (RTM) dan Laila Sari (Astro Ria). Noris juga banyak terlibat dalam lakonan drama tv dan menjdi model iklan.


KHAIRIL RIDZUAN

KHAIRIL RIDZUAN anak kelahiran Pulau Langkawi ini lebih selesa di panggil KN. Graduan Diploma ASWARA ini mula bergiat secara serius seawal tahun 2004 lagi. Antara produksi yang pernah beliau terlibat seperti Atap Genting Atap Rumbia, Percakapan Seorang Oedipus, Bilik Sulit, Dua Bulatan Pukul Enam dan banyak lagi. Pernah bekerja dengan Suhaimi Baba dalam filem 1957 : Hati Malaya dan siri Anak Pontianak. Sekarang beliau menjadi pelakon sepenuh masa.

NUR AMEERA BT MOHD RAMLI

Gadis berusia 23 tahun yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini mula melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di UiTM pada tahun 2004 dalam jurusan Seni Persembahan (Seni Lakon) sebelum melanjutkan pelajaran ke Jabatan Drama Universiti Malaya, juga dalam jurusan yang sama.

Sikap ramah dan mudah didekati beliau menyebabkan beliau banyak mendapat tawaran untuk berlakon dalam short film oleh para pelajar kursus skrin semasa di UiTM, walaupun beliau merupakan seorang pelajar teater. Bermula dengan teater SELENDANG JIWA, beliau kemudiannya terlibat dalam teater ALANG RENTAK SERIBU arahan Azhan Abd Rani sebagai pelakon dan teater MUZIKAL RAM, juga sebagai pelakon sebelum menyertai Festival Teater Selangor 2006 bersama THE ART STAGE CLUB (A.S.C) melalui teater AYAM JANTAN AYAM BETINA dan WAJAH LUMPUR sebagai WATI. Melalui watak WATI, beliau telah memenangi anugerah PELAKON WANITA TERBAIK bagi Festival Teater Selangor 2007 dan Festival Teater Kebangsaan 2008.

Selain itu, beliau juga banyak terlibat dalam program mendeklamasi puisi sebagai penyajak, sebagai pekerja belakang tabir produksi teater dan terlibat sebagai korus dalam Teater URMI yang dipentaskan di Istana Budaya. Teater THE BIRDS merupakan penilaian beliau di Universiti Malaya yang dipentaskan di Auditorium Muzium Negara. Teater terakhir beliau merupakan MAK YONG TITIS SAKTI arahan Zizie Zulkifli yang dipentaskan di KLPAC baru-baru ini. TANGAN KIRI AYAH adalah persembahan monodrama beliau yang telah berjaya di Festival Teater Selangor baru-baru ini dan terpilih untuk dipertandingkan ke peringkat kebangsaan.
Beliau boleh dihubungi melalui email adi_mirr@yahoo.com

AMERUL AFFENDI

AMERUL AFFENDI adalah graduan diploma Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang sekarang di kenali ASWARA dalam teater. Sekarang menyambung pelajarannya peringkat ijazah di Universiti Malaya. Banyak berlakon dalam teater, filem pendek, filem dan televisyen. Teater, Pentas Opera, Si Yatim Chao, Tanda, Waktu experimental Merdeka, Air Con, Uda dan Dara. Filem pendek, Aman dan kenapa ayah tak tanam pisang, Gadoh. Filem, Karaoke dan Jimbo. Televisyen, Rona Roni Makaroni, Rembat dan Misteri Penarik Becha.

DIRA ABU ZAHAR

Saturday, August 1, 2009

SIDANG MEDIA TEATER KOMPILASI VOL 2



Penyampai: Faisal Mustaffa (Jurucakap)



Penyampai: MoizzisR.Cong (Pengarah LEGASI)



Penyampai: Fared Ayam (Pengarah NATURALISASI)



Penyampai: Dira Abu Zahar (pelakon LEGASI)



Penyampai: Taiyuddin Bakar (pelakon LEGASI)






Penyampai: Zahiril Adzim (pelakon NATURALISASI) & Fared Ayam (Pengarah NATURALISASI)

Kredit dan ucapan penghargaan kepada IEJA88....