Friday, January 29, 2010
TANDA: Ini bukan teater bodekan
Oleh Faisal Mustaffa
Selepas mementaskan dua teater kompilasi yang menggabungkan beberapa pengarah dalam satu pentas, Rumah Anak Teater (RAT) yang sudah pun berusia 15 bulan mementaskan sekali lagi karya mereka dengan cara persembahan yang berbeza kali ini.
Teater yang menggabungkan enam pengarah kali ini dijadikan satu cerita di bawah satu tema kemusnahan alam.
Teater ini bukannya sebuah pementasan yang mengagung-agungkan seseorang bagi mengaut keuntungan. Teater ini tidak juga tidak dipengaruhi oleh pihak-pihak yang ingin mengaut publisiti. Teater ini dengan sengaja ingin memaparkan kegusaran, kerunsingan kumpulan RAT mengenai akibat daripada kerakusan manusia sendiri yang akhirnya akan memakan diri sendiri dan bertemu akhir zaman.
Gaya berteater secara kolaborasi menjadi satu gerakan teater yang sedang melanda seluruh dunia. Berteater cara begini bukan saja cuba untuk menghasilkan sebuah persembahan yang mantap tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai manusia belajar untuk hidup dan bekerja bersama. Bagi kolaborasi antara dua atau lebih negara berbeza secara amnya mereka cuba untuk memahami budaya dan bangsa asing. Proses intercultural ini sudah lama diamalkan dan ia pernah menjadi alat politik bagi mengeratkan hubungan antara negara.
Bagaimanapun baru-baru ini beberapa pengiat dan aktivis teater mula melaungkan perkataan "Intraculturul". Jika intercultural hanyalah persembahan antara budaya dari bangsa dan negara berbeza, intracultural pula berlaku di dalam negara dan bangsa yang mengamalkan budaya yang sama.
Nampak seperti intercultural lebih besar dan luas tapi itu hanya luarannya sahaja. Intracultural yang dilihat sempit itu sebenarnya lebih penting nilainya untuk digayakan dalam proses kreatif kerja seni tanpa sebarang kepentingan politik dibelakangnya. Mengajar kita untuk mengenali lebih mendalam erti kehidupan yang sebenar.
Inilah yang ingin dipersembahkan RAT melalui persembahan teater TANDA ini yang menjadi sebuah kerja kolaborasi secara intracultural. Bagi menggabungkan kerja enam orang pengarah, walaupun datang dari bangsa dan negara yang sama, ianya bukanlah satu tugasan mudah. Mereka ini harus bekerja dengan satu struktur penceritaan yang mampu memuatkan pemikiran mereka. Oleh itu hanya satu proses kerja yang sesuai untuk dipraktikkan dalam pementasan demikian; devised play.
Bermula dengan memilih isu akhir zaman dan melihat semula tanda-tanda yang hadir dari sudut agama (Islam) dan sains.
Di atas kertas TANDA akan kelihatan seperti sebuah cerita di mana ketika manusia mulai hilang harapan dan jasad sudah tidak berjiwa mereka mulai melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada pencemaran alam. Bumi yang makin tercemar tidak dihiraukan manusia. Bumi turut menunjukkan tanda-tanda yang hayatnya sudah dihujung namun manusia-manusia ini tidak pernah memberi perhatian. Sehingga akhirnya bumi itu menunggu saat untuk musnah bagaimanakah manusia-manusia itu menghadapinya. Itu persoalannya.
Di dalam TANDA, multimedia menjadi peranan penting dalam penceritaan. Multimedia bukan hanya sekadar untuk tayangan tetapi membantu memberi visual, mood dan efek kepada cerita yang ingin disampaikan. Sebanyak 5 buah projektor dan video kamera bersama miniture set akan digunakan bagi merealisasikan persembahan ini. Muzik juga memainkan peranan yang sama penting seperti multimedia. Di dalam TANDA muzik akan dimainkan secara langsung di atas pentas bagi mengiringi persembahan.
Persembahan TANDA kali ini akan menjadi siri teater kompilasi yang paling mencabar untuk RAT. TANDA kali ini menggunakan komitmen hampir 20 orang pelakon dan 6 orang pengarah. Menjadikannya sebuah persembahan dengan satu penceritaan yang bukan mudah untuk dikerjakan. Namun komitmen yang diberikan oleh tenaga produksi amat tinggi bagi memastikan persembahan ini akan berada pada tahap yang sepatutnya dan menjadikan persembahan Teater Kompilasi Vol 3 TANDA amat berbaloi untuk ditonton.
Kegagalan Persidangan Copenhagen, kedegilan kita memulihara alam sekitar, pembangunan rakus yang melihat faktor alam sekitar sebagai suatu penghalang menjadi ilham kepada kumpulan ini dalam mementaskannya.
Dari segi agama, terdapat beberapa sabda Rasulullah (s.a.w) bahawa, "hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq".
Secara saintifiknya pula, sistem planet seperti bumi seakan-akan metamorfosis. Bumi sebenarnya penuh dengan kombinasi daya-daya yang kita tahu dan tidak tahu. Bumi sebenarnya mengalami perubahan-perubahan di sepanjang kewujudannya atau kita namakan ia sebagai anjakan atau shift. Dua perubahan yang popular adalah Galactic Shift dan Polar Shift. Perubahan ini berkait dengan kitaran.
Faktor-faktor sedemikian menjadi inspirasi bahawa tanda-tanda akhir zaman mula menunjukkan isyaratnya.
Teater ini diarah oleh Aishah Hoo, Amar Asyraf, Khairunadzwan Rodzy, Fared Ayam dan Yusman Mokhtar diolah secara kreatifnya oleh Nam Ron menjadi satu persembahan yang berevolusi daripada manusia yang lahir suci, bersih dari dosa yang akhirnya musnah akibat mereka sendiri.
Pementasan ini melibatkan 20 pelakon yang sudah pun mempunyai nama dan tidak kurang pelakon-pelakon baru. Antaranya ialah Zahiril Adzim, Dira Abu Zahar, Beto Kusyairy, Maya Tan dan ramai lagi.
TANDA akan dipentaskan di Panggung Eksperimen Aswara Kuala Lumpur pada 2 hingga 7 Februari ini.
Artikel ini disiarkan di KLPOS.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment