Sunday, January 31, 2010

Tanda-tanda akhir zaman di dunia



Written by Faisal Mustaffa

Artikel ini diterbitkan di laman Centre for Policy Initiatives.

Selepas mementaskan dua teater kompilasi yang menggabungkan beberapa pengarah dalam satu pentas, Rumah Anak Teater (RAT) akan mementaskan sekali lagi karya mereka dengan cara persembahan yang berbeza kali ini.

Karya Tanda yang menggabungkan enam pengarah – Aishah Hoo, Amar Asyraf, Khairunadzwan Rodzy, Fared Ayam dan Yusman Mokhtar diolah secara kreatifnya oleh Nam Ron – dijadikan satu cerita di bawah satu tema kemusnahan alam.

Gaya berteater secara kolaborasi menjadi satu gerakan teater yang sedang melanda seluruh dunia. Teater Kompilasi Vol. 3, Tanda, dengan sengaja ingin memaparkan kegusaran, kerunsingan kumpulan RAT mengenai akibat daripada kerakusan manusia yang akhirnya akan memakan diri dan bertemu akhir zaman.

Berteater cara begini bukan saja cuba untuk menghasilkan sebuah persembahan yang mantap tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai manusia belajar untuk hidup dan bekerja bersama.

Bagi kolaborasi antara dua atau lebih negara berbeza secara amnya, mereka cuba untuk memahami budaya dan bangsa asing. Proses ‘intercultural’ ini sudah lama diamalkan dan ia pernah menjadi alat politik bagi mengeratkan hubungan antara negara.

Bagaimanapun baru-baru ini beberapa pengiat dan aktivis teater mula melaungkan perkataan ‘intracultural’. Jika intercultural hanyalah persembahan antara budaya dari bangsa dan negara berbeza, intracultural pula berlaku di dalam negara dan bangsa yang mengamalkan budaya yang sama.

Nampak seperti intercultural lebih besar dan luas tapi itu hanya luarannya sahaja. Intracultural yang dilihat sempit itu sebenarnya lebih penting nilainya untuk digayakan dalam proses kreatif kerja seni tanpa sebarang kepentingan politik di belakangnya.

Mengajar kita untuk mengenali lebih mendalam erti kehidupan yang sebenar; inilah yang ingin dipersembahkan RAT melalui persembahan teater Tanda ini yang menjadi sebuah kerja kolaborasi secara intracultural.

Menghadapi bumi musnah

Bagi menggabungkan kerja enam orang pengarah, walaupun datang dari bangsa dan negara yang sama bukanlah satu tugasan mudah. Mereka ini harus bekerja dengan satu struktur penceritaan yang mampu memuatkan pemikiran mereka. Oleh itu, hanya satu proses kerja yang sesuai untuk dipraktikkan dalam pementasan demikian – devised play.

Bermula dengan memilih isu akhir zaman, ianya melihat semula tanda-tanda yang hadir dari sudut agama (Islam) dan sains.

Di atas kertas, pementasan Tanda akan kelihatan seperti sebuah cerita di mana ketika manusia mulai hilang harapan dan jasad sudah tidak berjiwa, maka mereka mulai melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada pencemaran alam.

Bumi yang makin tercemar tidak dihiraukan manusia. Bumi turut menunjukkan tanda-tanda yang hayatnya sudah di hujung, namun manusia-manusia ini tidak pernah memberi perhatian. Sehingga akhirnya bumi itu menunggu saat untuk musnah, maka bagaimanakah manusia-manusia itu menghadapinya? Itu persoalannya.

Di dalam Tanda, multimedia menjadi peranan penting dalam penceritaan. Multimedia bukan hanya sekadar untuk tayangan tetapi membantu memberi visual, mood dan efek kepada cerita yang ingin disampaikan.

Sebanyak lima buah projektor dan video kamera bersama miniture set akan digunakan bagi merealisasikan persembahan ini. Muzik juga memainkan peranan yang sama penting seperti multimedia. Di dalam Tanda, muzik akan dimainkan secara langsung di atas pentas bagi mengiringi persembahan.

Persembahan Tanda kali ini akan menjadi siri teater kompilasi yang paling mencabar untuk RAT yang kini berusia 15 bulan. Tanda menggunakan komitmen hampir 20 orang pelakon, antaranya yang sudah pun mempunyai nama Zahiril Adzim, Dira Abu Zahar, Beto Kusyairy, Maya Tan dan tidak kurang pelakon-pelakon baru.




Dari segi agama dan sains


Teater Tanda diarah menjadi satu persembahan yang berevolusi daripada manusia yang lahir suci, bersih dari dosa yang akhirnya musnah akibat diri mereka sendiri.

Kegagalan Persidangan Copenhagen, kedegilan kita memulihara alam sekitar, pembangunan rakus yang melihat faktor alam sekitar sebagai suatu penghalang menjadi ilham kepada kumpulan ini dalam mementaskannya.

Dari segi agama, terdapat beberapa sabda Rasulullah (s.a.w) bahawa, “Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq”.

Secara saintifiknya pula, sistem planet seperti bumi seakan-akan metamorfosis. Bumi penuh dengan kombinasi daya-daya yang kita tahu dan tidak tahu.

Bumi sebenarnya mengalami perubahan-perubahan di sepanjang kewujudannya atau kita namakan ia sebagai anjakan atau shift. Dua perubahan yang popular adalah Galactic Shift dan Polar Shift. Perubahan ini berkait dengan kitaran.

Faktor-faktor sedemikian menjadi inspirasi bahawa tanda-tanda akhir zaman mula menunjukkan isyaratnya.
___________________________

* Tanda akan dipentaskan di Panggung Eksperimen Aswara Kuala Lumpur pada Feb 2-7.

No comments:

Post a Comment