Saturday, February 13, 2010
Tanda dihalau dari panggung!
SUDAH 21 tahun Shahili Abdan cuba menjadi watak kental dalam arena teater tanah air. Menggunakan nama pentas sebagai Nam Ron, 40, dia digelar 'sifu' di kalangan pengikut teater generasi baru. Jumaat minggu lalu, dia hampir rebah dan semangat teaternya nyaris mati.
Ibarat disiat kulit tubuhnya, tanpa segan, tangis Nam Ron tumpah. Embun malam turut menjadi saksi segala kepedihan yang menikam seluruh krew produksi Projek KoKEN, Tanda.
Dihalang daripada meneruskan persembahan Tanda di Panggung Eksperimen (ET), Akademi Seni Warisan dan Kebangsaan (Aswara) dan lebih memeranjatkan, mereka dihalau dengan alasan surat keizinan menggunakan panggung yang diperolehi adalah tidak sah sedangkan sudah tiga malam persembahan berlangsung.
Tragedi itu disifatkan komuniti teater sebagai gelombang hitam.
Sensasi Bintang yang menjadi mata dan telinga atas 'tsunami' yang berlaku cuba mencari sebuah konklusi. Hinakah menjadi seniman teater sehingga diperlakukan seperti kucing kurap?
Adakah tragedi begini pertama kali berlaku sepanjang anda bergiat dengan teater?
Sebenarnya ini kali ketiga. Dulu masa di Perlis pada tahun 1993, dewan yang telah ditempah digunakan oleh pihak lain. Show kami terpaksa ditunda ke tengah malam. Kedua, semasa di Akademi Seni Kebangsaan (ASK, kini Aswara). Studio sudah ditempah dan tiba malam pementasan, pagar ASK dikunci dan kami tidak dibenarkan masuk selepas pukul 6 petang.
Bilik suis pendingin hawa pula dikunci menyebabkan kami kepanasan. Ada penonton terpaksa buka baju sepanjang show. Tapi kes ketiga ini adalah yang paling hitam dalam sejarah saya sebagai penggiat teater. Ini satu penghinaan yang tak dapat diterima akal.
Semasa diarahkan agar ET dikosongkan sedangkan pementasan sedang berjalan, apa perasaan anda?
Saya sangat kecewa, rasa yang tak dapat diluahkan. Bila saya sampai ke ET, saya tengok pelakon-pelakon dan krew sedang menangis, saya pun ikut menangis kerana diperlakukan begitu. Malam itu, ada dua buah bas membawa penonton dari Johor dan Pahang untuk tengok Tanda. Untuk tidak menghampakan mereka, saya terpaksa buat bengkel teater di tepi bangunan. Mereka datang dari jauh tapi hampa. Saya hampir putus asa, rasa mahu tinggalkan teater, lebih baik berlakon sahaja dalam drama atau filem.
Nam Ron serta seluruh warga Tanda sendiri merupakan graduan Aswara, tidakkah tindakan itu memperlihatkan kedangkalan sebuah institusi seni? Itu persoalan yang sekarang ini diperkatakan semua graduan Aswara. Mereka marah. Kami dapat ruang di ET menerusi Persatuan Alumni Aswara. Usaha saya ini tidak dibayar kerana saya mahu wujudkan pelapis.
Saya tak nak orang kata graduan Aswara 'kosong'. Tapi apa yang berlaku menunjukkan pegawai kerajaan di Aswara tidak menjalankan kerja dengan betul. Salah seorang pengarah teater berkenaan, Farid Ayam ada ke pejabat rektor untuk mendapatkan penjelasan. Tapi dia datang kepada saya dengan satu ungkapan yang tak sepatutnya diucapkan oleh seorang rektor.
Atas alasan apa, arahan siapa dan siapa yang menghalau kalian daripada ET pada hari Jumaat lalu?
Setahu saya, pengurusan tertinggi Aswara iaitu rektor yang baru sebulan memulakan tugas yang mengarahkan agar Tanda dihentikan pementasan di ET.
Hal itu tidak disampaikan secara formal. Hanya empat orang pengawal keselamatan dihantar untuk memaklumkan kepada kami. Ketika itu, kami sedang bersiap untuk pementasan. Alasan mereka, surat keizinan penggunaan ET yang kami perolehi tidak melalui saluran yang sah.
Anda sendiri bertugas sebagai pensyarah teater di Aswara, jadi apa resolusi anda dengan Aswara?
Saya sudah berpatah arang dengan Aswara. Saya baru ditawarkan kontrak baru tapi memutuskan untuk berhenti. Sudah hampir 10 tahun saya bertugas di Aswara dan saya tidak berhasrat untuk menyambung kontrak sebagai pensyarah di situ lagi. Malah ada pensyarah sambilan lain yang akan ikut jejak saya.
Adakah sukar untuk mendapatkan tarikh dan lokasi baru?
Alhamdulillah! Tidak sampai sejam selepas berita Tanda dihalau dari ET, kami dapat panggilan daripada penggiat teater popular, Datuk Zahim Al Bakri.
Dia tawarkan kami tempat di PJ Life Arts di PJ Live Arts Sdn. Bhd., dekat Jalan Universiti, Petaling Jaya, Selangor. Baki empat show yang tidak dapat dipentaskan di ET akan dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari ini. Itu rezeki kami.
Ada yang kata, unsur erotik yang diketengahkan dalam Tanda jadi faktor kenapa ia harus dihentikan?
Tanda sebuah teater tentang tanda-tanda hari kiamat. Jadi kami ada masukkan satu adegan berdurasi 30 saat yang mahu menggambarkan satu hadis yang bermaksud, salah satu tanda hari kiamat apabila manusia mula melakukan hubungan seks seperti binatang. Ketika ini, sudah ada pesta seks berlaku, itu yang kami cuba terjemahkan tetapi dalam keadaan yang boleh diterima. Tiada aksi buka baju atau berpakaian menjolok mata, cuma ada gerak tubuh yang sedikit kurang selesa bagi segelintir pihak. Bagi saya alasan itu tidak logik, rektor berkenaan sendiri tidak datang menonton jadi bagaimana dia boleh bertindak tanpa usul periksa?
Selepas tragedi itu, apa harapan anda terhadap KoKEN dan komuniti teater tanah air?
KoKEN sendiri singkatan kepada komuniti kental. Kami di KoKEN bukan macam orang filem yang buat duit dengan berkarya, kami cuma berteater untuk masyarakat. Lepas ini, perjuangan kami akan lebih besar, bukan untuk komuniti teater yang kecil tetapi untuk teater Malaysia. Saya harap sangat akan berlaku revolusi dalam gerakan teater di Malaysia.
sumber Kosmo
link http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm
Maklumat lanjut mengenai pementasan TANDA, sila lawat di sini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment