Friday, October 4, 2013

Kerajaan ‘Double Standard’ Nilai Karya Seni dan Sejarah

Kenyataan Media Rumah Anak Teater pada 5 Oktober 2013 di Petaling Jaya

Kerajaan ‘Double Standard’ Nilai Karya Seni dan Sejarah

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia didapati bersifat ‘talam dua muka’ dalam menentukan karya-karya seni bersifat sejarah dibenarkan untuk ditayangkan mahupun dipentaskan untuk khalayak umum.

Jawapan Lisan di Parlimen pada 2 Oktober 2013 lalu yang dibawa oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, YB Hee Loy Sian jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak ada usaha untuk memaparkan sejarah sebenar yang berlaku di rantau ini malah menyokong filem sejarah yang difiksyenkan.

Teater Merdekanya KITA oleh Kumpulan Teater KAMI Ltd dari Singapura yang sepatutnya dijadualkan dipentaskan pada 29-30 Ogos 2013 lalu terpaksa dibatalkan sungguhpun kumpulan teater tersebut sudah sampai dan bersedia untuk membuat pementasan. Ianya diharamkan atas alasan menyentuh sensitiviti rakyat dari aspek politik dan sosial masyarakat.

Merdekanya KITA dibawa atas naungan National Arts Council Singapore di bawah arahan Pemenang Anugerah Budaya Singapura 2011, Atin Amat. Selain Singapura dan Malaysia, teater tersebut dipentaskan di Jakarta pada tahun lalu dan mendapat ulasan yang amat membanggakan.

Tidak mungkin kerajaan Singapura akan membenarkan sesebuah naskah yang menyentuh sensitiviti rakyat untuk dipentaskan di Negara lain.

Naskah yang ditulis oleh Anwar Hadi itu merujuk kepada kemerdekaan yang berlaku sejak zaman kesultanan, penjajahan Inggeris dan Jepun serta lambakan pendatang asing. Isu-isu tersebut jelas tertulis di buku-buku teks sejarah sekolah yang mana merupakan rujukan beliau.

Adakah kerajaan sendiri menidakkan sejarah yang tertulis?

Tidak ada niat bagi kumpulan teater ini mahupun Rumah Anak Teater yang bertanggungjawab membawa kumpulan luar ini ke sini untuk menerapkan mesej-mesej yang tersirat yang cuba menggambarkan bahawa kita (rakyat Malaysia) sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya kerana masih dijajah bukan secara fizikal, hanya memaparkan kesamaan laluan sejarah yang dilalui oleh  Indonesia, Singapura dan Malaysia; seperti yang didakwa oleh pihak Kementerian.

Rumah Anak Teater mendesak agar Kerajaan Malaysia memohon maaf kepada Kerajaan Singapura atas ketidakpekaan JK-PUSPAL dalam menilai naskah Merdekanya KITA ini.


ENDS

Rujukan:

JAWAPAN LISAN AHLI PARLIMEN PETALING JAYA SELATAN, YB HEE LOY SIAN PADA 2 OKTOBER 2013 DI DEWAN RAKYAT

SOALAN:

YB TUAN HEE LOY SIAN [ PETALING JAYA SELATAN ] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan bagaimana teater Merdekanya Kita oleh Kumpulan Teater Kami Ltd yang terpaksa membatalkan pementasan mereka pada 29 dan 30 Ogos 2013 boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya daripada aspek politik dan sosial.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jawatankuasa Agensi Pusat Permhonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), atau ringkasnya JK-PUSPAL telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menilai permohonan untuk pementasan teater ‘Merdekanya Kita’ pada bulan Ogos 2013 lalu.

Seperti mana syor JK-Rayuan PUSPAL, satu sesi tayangan video pementasan telah diadakan pada 10 September 2013 dan dihadiri oleh wakil semua jabatan/agensi yang terlibat dalam JK-PUSPAL. Syor dan pandangan JK-Rayuan PUSPAL adalah pementasan ini boleh dibenarkan tertakluk kepada beberapa perkara seperti berikut:

(i) Waktu pementasan boleh dilaksanakan selepas bulan Kemerdekaan memandangkan pementasan teater ini pada pada bulan Ogos didapati tidak sesuai dalam konteks perayaan kemerdekaan Malaysia kerana terdapat mesej-mesej yang tersirat yang cuba disampaikan oleh pihak produksi teater ini menggambarkan bahawa kita (rakyat Malaysia) sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya kerana masih dijajah bukan secara fizikal dan tidak memberikan mesej jelas tentang pembangunan jati diri sebagai rakyat yang merdeka; dan

(ii)                Pendekatan engagement dengan penganjur wajar dilakukan bagi membolehkan pihak kementerian dan JK-PUSPAL berbincang secara terperinci dengan penganjur berhubung isu pindaan skrip agar isu-isu berkaitan sensitiviti politik dan sosia dapat dielakkan.
ENDS

No comments:

Post a Comment