Friday, October 4, 2013

Mengharamkan Teater Merdekanya Kita: Kerajaan Malaysia Hina Singapura

Kenyataan Media Ahi Parlimen Petaling Jaya Selatan, YB Hee Loy Sian pada 3 Oktober 2013 di Dewan Rakyat

Mengharamkan Teater Merdekanya Kita: Kerajaan Malaysia Hina Singapura

Atas arahan pembatalan teater Merdekanya Kita oleh Kumpulan Teater Kami Ltd dari Singapura Ogos lalu, jelas menunjukkan bahawa kerajaan kita masih enggan menerima hakikat daripada sejarah kemerdekaan yang berlaku di rantau ini.

Projek kembara teater ‘Merdekanya Kita’ yang dinaungi oleh The National Arts Council of Singapore bertujuan untuk memberi kesedaran kepada siri kemerdekaan yang berlaku sejak zaman kesultanan, penjajahan Inggeris dan Jepun serta lambakan pendatang asing. Isu-isu tersebut jelas tertulis di buku-buku teks sejarah sekolah yang mana merupakan rujukan kumpulan teater ini.

Sikap ‘takut pada bayang-bayang sendiri JK-PUSPAL di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia amat mengecewakan pencinta-pencinta seni teater tanahair ini yang mahu melihat cara olehan daripada kumpulan teater luar. Saya percaya kerajaan Singapura juga amat kecewa dengan pengharaman pihak Kementerian yang telah membawa kerugian kepada pihak mereka yang sudah tiba dan bersedia untuk pementasan tersebut.

National Arts Council of Singapore telah meluluskan projek kembara ini yang meliputi pementasan di Singapura, Jakarta dan Kuala Lumpur. Di kedua pementasan sebelum ini, pementasan tersebut mendapat liputan yang amat positif di kalangan penonton dan media.

Malah, pengarahnya Atin Ahmat ialah pemegang Anugerah Budaya Singapura 2011 atas sumbangan beliau dalam aspek kebudayaan di Singapura.

Tohmahan pihak Kementerian yang menggambarkan bahawa kita (rakyat Malaysia) sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya kerana masih dijajah bukan secara fizikal menunjukkan bahawa JK-PUSPAL dan JK-Rayuan PUSPAL langsung tidak berupaya menilai sesebuah naskah itu sama ada ianya bersifat sejarah atau propaganda.

Pengharaman sebuah produksi kerajaan Singapura di Negara ini akan melemahkan semangat setiakawan Malaysia-Singapura dan dianggap menghina.

ENDS

JAWAPAN LISAN AHLI PARLIMEN PETALING JAYA SELATAN, YB HEE LOY SIAN PADA 2 OKTOBER 2013 DI DEWAN RAKYAT

SOALAN:

YB TUAN HEE LOY SIAN [ PETALING JAYA SELATAN ] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan bagaimana teater Merdekanya Kita oleh Kumpulan Teater Kami Ltd yang terpaksa membatalkan pementasan mereka pada 29 dan 30 Ogos 2013 boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya daripada aspek politik dan sosial.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jawatankuasa Agensi Pusat Permhonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), atau ringkasnya JK-PUSPAL telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menilai permohonan untuk pementasan teater ‘Merdekanya Kita’ pada bulan Ogos 2013 lalu.

Seperti mana syor JK-Rayuan PUSPAL, satu sesi tayangan video pementasan telah diadakan pada 10 September 2013 dan dihadiri oleh wakil semua jabatan/agensi yang terlibat dalam JK-PUSPAL. Syor dan pandangan JK-Rayuan PUSPAL adalah pementasan ini boleh dibenarkan tertakluk kepada beberapa perkara seperti berikut:
(i)                  Waktu pementasan boleh dilaksanakan selepas bulan Kemerdekaan memandangkan pementasan teater ini pada pada bulan Ogos didapati tidak sesuai dalam konteks perayaan kemerdekaan Malaysia kerana terdapat mesej-mesej yang tersirat yang cuba disampaikan oleh pihak produksi teater ini menggambarkan bahawa kita (rakyat Malaysia) sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya kerana masih dijajah bukan secara fizikal dan tidak memberikan mesej jelas tentang pembangunan jati diri sebagai rakyat yang merdeka; dan
(ii)                Pendekatan engagement dengan penganjur wajar dilakukan bagi membolehkan pihak kementerian dan JK-PUSPAL berbincang secara terperinci dengan penganjur berhubung isu pindaan skrip agar isu-isu berkaitan sensitiviti politik dan sosia dapat dielakkan.
ENDS

No comments:

Post a Comment